Wednesday, July 28, 2010

Perdana Menteri Britain minta EU buang sikap prejudis

2010/07/28 ANKARA: Perdana Menteri Britain, David Cameron menuntut anggota Kesatuan Eropah (EU) menggugurkan prejudis mereka terhadap umat Islam dengan tidak lagi terus menghalang Turki menjadi anggota badan serantau itu. 

Berucap di sini, Cameron menyatakan perasaan marahnya mengenai hakikat bahawa Turki sebagai anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) diminta menyabung nyawa di Afghanistan tetapi tidak diterima sebagai anggota EU. 
 
Ankara diminta menjaga kem tetapi tidak dibenarkan masuk di dalam khemahnya, kata Cameron dalam pertemuan dengan ahli perniagaan Turki di Ankara semalam. 
Beliau berkata mereka yang menghalang kemasukan negara Islam itu dalam EU yang kini mempunyai 27 anggota terbukti mempunyai pertimbangan yang salah dan prejudis. 

Kenyataan Cameron itu kemungkinan dianggap sebagai kritikan terhadap Perancis dan Jerman. 

Perdana Menteri Britain itu dalam rangka lawatan empat hari ke Turki sebelum ke India. 

Menyentuh isu keanggotaan Turki dalam EU itu yang sejak beberapa tahun lalu disokong Britain, Itali dan Sepanyol, tetapi tergantung berikutan dihalang Presiden Nicolas Sarkozy dari Perancis dan Canselor Jerman, Angela Merkel, Cameron berkata: Saya akan terus menyokong keanggotaan Turki agar negara ini dapat memainkan peranan lebih meluas dalam arena diplomasi Eropah. 
 
Kita akan secara bersama, membuka jalan dari Ankara ke Brussels, katanya. Agensi

Ulasan: Manusia memang diciptakan berbagai bangsa untuk saling kenal sebagaimana yang telah disebutkan dalam Quran (Hujurat : 13) yang bermaksud:  
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. 
Bukan untuk bergaduh.

No comments: