Thursday, July 22, 2010

Perpaduan Melayu: PAS Tidak Perlu Defensif

1. Sehari dua ini isu Perpaduan Melayu seperti "ibu pelaris" bagi media di pasaran . Pelbagai pandangan dan idea dapat dilihat ketika mengulas isu ini . Samaada melewati media arus perdana , media milik parti masing - masing ataupun di media baru [alternatif] .

2. Ada yang setuju 100% tanpa syarat , ada yang tidak setuju 100% tanpa ruang , ada yang setuju tetapi bersyarat .

3. Saya sendiri mempunyai pandangan peribadi dalam perkara ini dan saya jangka pandangan saya bertepatan dengan semangat perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS . Terdahulu telah saya nukilkan sebahagian pandangan saya melalui posting saya sebelum ini . 

[ Tetapi secara officialnya pandangan saya tidak mewakili parti secara rasmi ] . Justeru itu saya bersedia untuk berdepan dengan pandangan yang berbeza , penuh hormat dan sangka baik .

4. Asasnya saya dirikan pandangan itu bukanlah lahir dari congakkan idea tanpa saya meneliti dan memerhati suara orang ramai terutama mereka [ orang awam ] yang saya temui setiap kali selesai menyampaikan kuliah di masjid dan surau saban hari . Akhirnya rumusan yang saya buat ialah :

Ummat Islam mesti bersatu . Rata - rata ummat Islam ialah melayu . Secara mantiqinya ialah melayu mesti bersatu . Namun bersatu atas flatform atau premis Islam . Islam menjadi syarat . Justeru itu saya sangat tidak bersetuju dengan anjuran perpaduan tanpa syarat . Perpaduan itu hanya berjaya dan diredhai oleh Allah swt apabila diikat dengan syarat Islam.

Semua pihak mesti kembali kepada Islam . Ayat al Quran yang menganjurkan perpaduan ummah ini telah wujud sejak awal sebelum lahirnya parti - parti politik dalam negara kita . Aus dan Khazraj satu bangsa yang bertelagah di bumi Madinah sejak puluhan malah ratusan tahun . Namun ia disatukan oleh Rasulullah saw dengan kalimah Toiyyibah Laa Ilaahaillallah .

Bangsa , material dan kuasa tidak boleh dijadikan premis kukuh untuk perpaduan ummah . Sayang bangsa namun binalah bangsa itu atas agama dan syariat Islam . Sayang material tetapi kawallah material itu dengan kawalan agama dan syariat Islam . Sayang kuasa tetapi bentuklah kuasa itu dengan acuan agama dan syariat Islam .
Seperkara lagi ialah , kalau kita bercakap soal perpaduan , kita tidak boleh hanya bercadang untuk bersatu sesama kita bangsa melayu atau ummat Islam sahaja , sementelah lah perpaduan sesama ummat Islam itu hukumnya wajib, tetapi juga mesti ada plan dan perancangan berperingkat untuk bersatu bagi semua bangsa dan kaum , juga berteraskan ajaran Islam [ dalam erti kata lain , melibatkan semua parti bukan antara PAS dan UMNO sahaja dan PAS sekali - kali tidak akan keluar dari PAKATAN Rakyat] . Samaada mereka menganut ajaran Islam [menjadi saudara baru] atau mereka kekal dengan agama mereka tetapi menerima dasar kebaikan dan keadilan yang dibawa oleh Islam .

5. UMNO hulur dan tawarkan perpaduan kepada kita . Saya sarankan agar kita [ PAS ] tidak perlu menolak tawaran itu . Terimalah tawaran untuk perpaduan ummah kerana kita tidak mahu perpecahan , tetapi kita WAJIB letak syarat iaitu Islam . Kerana tanpa Islam , tawaran perpaduan itu sia - sia lantaran ia tidak mungkin dapat dibina dengan baik dan kukuh . Masih segar dalam ingatan saya malah selalu terngiang - ngiang di telinga saya , apabila al Mursyidul Aam PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan segala kerendahan dirinya berkata : "Kalau UMNO terima Islam, PAS ni tak ada pun tak apa !"

6. Dalam kenyataan lain pula , Tuan Guru Nik Abdul Aziz selalu mengulang pendiriannya : "Kalau UMNO terima Islam sebagai dasar perjuangan parti mereka, kita bubar PAS" cuma mungkin saya berbeza sikit dengan Tuan Guru dalam menyusun ayat tersebut . kalau boleh saya sebut: "Kalau UMNO terima Islam sebagai dasar perjuangan parti mereka , maka bubarlah UMNO , Jom sertai PAS" sebab , masa tu perjuangan UMNO dan PAS telah serupa dan sama . Kalau bubar PAS yang telah sekian lama dibina dengan sistem Islam dan tarbiyyahnya , ikhlasnya saya sebut ia akan merugikan masa kita , kerana membina UMNO baru yang belum memiliki sistem tarbiyyah islamiyyah , akan memakan masa yang lama untuk menjadikan ia mantap .

7. Saya sebut kepada umum dan juga wartawan yang bertanya , jika UMNO ikhlas dan serius mahukan perpaduan sebagaimana tawaran yang berikan , maka sewajarnya UMNO menerima syarat yang diberikan iaitu Islam . Apakah UMNO sukar untuk menerima Islam ? Apakah payah UMNO mahu menerima syarat Islam ? Bukankah pemimpin dan rata - rata ahli UMNO adalah beragama Islam ? Kita bukan letak syarat supaya UMNO bubarkan partinya , cuma kita minta supaya UMNO menerima Islam sebagai dasar perjuangan . Sukarkah begitu ? Kalau sukar , maka sukarlah kita ummat Islam mahu bersatu.

8. Saat itu , jangan lagi dituding PAS tidak mahu perpaduan ! PAS punca perpecahan ! dan sebagainya . Kerana kita mahukan perpaduan . Kita mahu supaya ummat melayu bersatu padu atas dasar Islam dan perjuangannya. Kerana nas al Quran pun kata begitu , bidalan orang - orang tua pun kata begitu . [ Bersatu teguh bercerai roboh ] . Masa tu , jangan sesiapa mengatakan PAS tidak mahu bersatu padu . Bahkan yang tidak mahukan perpaduan ialah UMNO semata - mata kerana tidak mahu menerima syarat mudah yang kita letakkan iaitu Islam .

9. Saya mendoakan agar UMNO menerima Islam . Apabila UMNO menerima Islam maka itu tali Allah yang akan mengikat kita menjadi satu dan kuat . Saya tidak suka UMNO bukan semata - mata kerana namanya UMNO , tetapi kerana dasarnya yang tidak Islam malah banyak perkara bertentangan dengan Islam . Selama UMNO tidak menerima Islam , maka selama itu saya tidak boleh suka dan tidak boleh sokong UMNO . Bukan saya tidak mahu sokong UMNO tetapi saya TIDAK BOLEH sokong UMNO kerana ia tidak menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya .

10. Jika UMNO insaf dan kembali kepada dasar dan prinsip Islam lalu menjadikan Islam sebagai asas perjuangannya . Melaksanakan al Amru bil Makruf dan an Nahyu anil mungkar yang menjadi sebahagian teras syariat Islam dan berjuang untuk mendaulatkan syariat Islam di dalam negara ini , maka pada waktu itu saya berjanji , saya akan sokong perjuangan UMNO .

Akhirnya . UMNO hanya berdepan dengan syarat mudah untuk menjayakan tawaran perpaduannya itu . Syarat yang saya maksudkan ialah ISLAM . Bagi pihak PAS pula , saya sarankan agar tidak perlu defensif dengan isu perpaduan melayu yang rata - ratanya adalah ummat Islam . Bukan sahaja Dato' Harussani bahkan siapa jua boleh mengusahakan usaha murni mewujudkan perpaduan ummat Islam dalam negara kita selama mana syarat Islam itu menjadi prinsip . Kerana segala usaha hanya menjadi murni dan mulia jika kerana Islam . Kalau tidak menerima Islam ini sebagai syarat , segala cita - cita untuk bersatu itu berkecai . Orang putih kata : No Islam No talk!

Posted by Nasrudin Hassan at Tantawi at 02:21  
http://episodeperjuangan.blogspot.com/2010/07/perpaduan-melayu-pas-tidak-perlu.html

No comments: