Friday, July 23, 2010

‘Orang Tengah’ yang ketinggalan zaman

Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com  

Siapapun atau golongan manapun yang mendakwa diri mereka sebagai ‘orang tengah’ atau mencuba menjadi ‘orang tengah’ konon untuk berusaha mengadakan pertemuan atau hubungan antara PAS dan Umno, sudah tentu sama sekali tidak diiktiraf oleh arus perdana di dalam PAS. 

Bahkan kepimpinan PAS sendiri telah berkali-kali mempertegaskan bahawa PAS tidak akan sama sekali bekerjasama dengan Umno, sebuah parti yang sangat berbeza mengenai dasar dan pendekatannya. 

Ini telah diketahui umum dan telah ditegaskan banyak kali oleh pihak PAS, namun perbezaan dasar antara PAS dan Umno ini cuba dipandang sepi atau tidak diberi perhatian oleh pihak yang berhempas pulas untuk menemukan kedua parti tersebut.

Malah pihak yang dikatakan hendak menjadi ‘orang tengah’ ini sendiri tidak berminat untuk melihat perbezaan dasar itu. Yang dihujahkan berkali-kali oleh pihak ini ialah bahawa kerjasama PAS-Umno ini ialah untuk kepentingan Melayu/Islam. Sementara pemimpin PAS berulang kali menegaskan bahawa dengan Islam saja, Melayu akan menjadi kuat di samping kaum-kaum lain yang ada di negara ini.

Inilah program politik baru Malaysia yang dipelopori oleh Pakatan Rakyat. Ia membela semua kaum, bukan berdasarkan kaum tetapi berdasarkan rialiti yang ada. Ia membela Melayu yang miskin, kaum Cina yang miskin, India yang miskin dan kaum-kaum lain yang miskin di bawah semangat Perlembagaan Malayia yang ada sekarang.

Semua status-quo seluruh kaum yang ada di Malaysia dari pelbagai segi kepentingan mereka - anutan agama, budaya tradisi dan lain-lain seperti yang diebut di dalam perlembagaan tidak berubah. 

Bahkan kemakmuran Malaysia dibahagi-bahagikan secara adil selaras dengan keadilan yang menjadi tunggak syariat Islam. Gagasan ini telah diterima dan disepakati oleh semua parti dalam Pakatan Rakyat. Inilah kecemerlangan Islam.

Oleh itu, PAS yang amat selesa dengan Pakatan Rakyat akan terus mempertahankan dasar ini, yang telah diterima oleh majoriti rakyat Malaysia seperti yang terpancar melalui keputusan Pilihan Raya Ke-12 lalu.

Dengan kedudukan PAS yang amat kukuh di dalam Pakatan Rakyat ini, sebarang elemen yang cuba mengganggu hubungannya itu tidak mungkin berjaya betapapun diasak oleh pelbagai pihak.

Bagaimanapun, seperti kata Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abd Hadi Awang bahawa PAS bersedia menggantikan Umno untuk menjadi teras politik Malaysia. Masanya sudah tiba, katanya, bagi Umno/BN untuk berehat. 

Menurut Presiden PAS itu lagi, PAS telah berjaya mengubah minda panatik perkauman orang Melayu kepada Islam yang bersifat sejagat dengan mengambil kira hubunan baik dan adil dengan masyarakat majmuk di Malaysia.

Perlu dingat bahawa Pakatan Rakyat menerima Islam sebagai Agama Rasmi Perekutuan, menerima kenyataan akan Hak Istimewa Orang Melayu dengan tidak menzalimi orang lain dan menerima bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Rasmi.

Pelbagai fitnah telah ditaburkan oleh musuh politik PAS bahawa kononnya PAS tunduk dan menjadi alat kepada DAP dalam Pakatan Rakyat. Ini suatu fitnah yang tidak pernah dapat dibuktikan secara terperinci oleh mereka. Pemerintahan Pakatan Rakyat, baik di Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang telah menyerlahkan pemerintahan yang adil kepada semua kaum – baik masalah pemberian tanah, peluang pendidikan, perniagaan, pekerjaan dan semuanya walaupun baru dua tahun lebih memerintah.

Semua bukti ini telah dijelaskan oleh semua negeri tersebut melalui mekanisme penerangan mereka - wabe-site negeri, risalah, wabe-tv negeri, ceramah, saluran media alternatif dan sebagainya. Sebahagian besar penerangan ini telah sampai kepada rakyat, walaupun pihak musuh politik Pakatan Rakyat sentiasa menafikan usaha Pakatan ini.

Suatu hakikat yang dilupakan oleh pihak yang menggelarkan diri mereka ‘orang tengah’ atau berusaha menjadi ‘orang tengah’ bahawa ini ialah era demokrasi digital, segala maklumat diperoleh secara terbuka dan sangat luas. Ini menyebabkan rakyat menuntut perubahan, di mana mereka melihat politik perkauman Umno/BN, pendekatan dan watak pemimpin mereka sudah ketinggalan zaman dan raakyattelah menolaknya dalam PRU Ke-12 yang lalu.

Sungguh malang, hakikat ini tidak disedari atau duba menafikannya oleh pihak yang beriya-iya sangat hendak menjadi ‘orang tengah’ menghubungkan Umno dan PAS. Usaha ini akan sia-sia atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas. Pada ketika yang sama PAS sangat selesa dengan Pakatan Rakyat.

Justru jika ada pihak atas nama individu yang berjumpa dengan ‘orang tengah’ untuk berunding cara mana menemukan PAS dan Umno, itu hanya usaha sia-sia. Ini kerana sebarang usaha seperti ini, jika benar-benar ada, tidak mewakili parti, menentang keputusan tiga Muktamat PAS dan tidak walak kepada keputusan parti.

Ini kerana walau apapun hujahnya, namun ini bukan caranya.
Harakahdaily.

No comments: