Tuesday, July 20, 2010

Malaysia bukan negara sekular

KUALA LUMPUR 19 Julai – Tokoh cendekiawan Islam, Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady menegaskan bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular.

Malah beliau sanggup bersumpah atas nama Allah dan Rasulullah bahawa sekularisme dalam erti Barat tidak wujud sama sekali di Malaysia. 

Sehubungan itu, beliau menegaskan sebarang dakwaan yang menyatakan sekular mula wujud di negara ini sejak kedatangan penjajah adalah tidak benar sama sekali.

‘‘Pemisahan agama, adat dan raja pada waktu itu adalah pengasingan pentadbiran dan bukannya pengasingan agama secara total di dalam pentadbiran. 

‘‘Pokok pangkal sekular adalah pengecualian agama daripada semua ruang awam. Agama dipisahkan dalam pendidikan, pentadbiran, sektor keselamatan, bank dan lain-lain.

‘‘Sedangkan kita lihat di dalam pentadbiran negara hari ini, agama tidak dipisahkan sama sekali. Malah dalam apa jua aspek, agama ditekankan. Cuma mungkin secara tidak menyeluruh tetapi ia sedang mengalami perubahan,’’ katanya.

Kenyataannya itu dipetik daripada temu bual eksklusifnya dengan UMNO Online, kelmarin.

Muhammad Uthman berkata, sudah tiba masanya umat Islam di negara ini menghentikan pertikaian berhubung persoalan sekularisme dan nasionalisme sebaliknya kembali kepada fahaman konsep sayang kepada bangsa dan agama mengikut Islam.

‘‘Islam mengajar kita menyayangi agama dan bangsa. Ini yang diajar oleh Islam dan sehubungan itu jangan sesekali kita melanggar kerangka asal berkenaan.

‘‘Sewajarnya ia dipatuhi dan dalam masa sama diperkemaskan lagi supaya ia boleh menjadi contoh kepada kaum minoriti yang lain,’’ katanya.

Dalam pada itu Muhammad Uthman berkata, mereka yang melanggar kerangka asal tersebut boleh dipanggil sebagai ‘orang gasar’ atau tidak bertamadun.

‘‘Ini merupakan sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan tidak boleh dibiarkan atas dasar kebebasan mengeluarkan pendapat,’’ katanya.

Sementara itu, beliau berkata, tuduhan kafir kepada pihak tertentu adalah satu budaya yang amat ditegah oleh Islam.

Ulasan: Yang jelas UMNO adalah parti sekular. Kenapa UMNO tidak mahu mewujudkan undang-undang untuk di pakai oleh orang Islam sahaja?

No comments: