Friday, July 09, 2010

Kontraktor baru bersih runtuhan Stadium Sultan Mizan

KUALA LUMPUR 9 Julai - Kontraktor baru telah dipilih bagi pembersihan runtuhan Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, Kuala Terengganu dalam tempoh lima bulan, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah.

"Ia memerlukan masa kerana kerjanya amat rumit. Kita tidak mahu apabila mereka mengalihkan runtuhan tersebut ia akan merosakkan struktur stadium itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis prapelancaran Festival Gamelan Sedunia 2010 di sini hari ini.

Menurutnya lagi, kontraktor baru yang dipilih hanya akan menjalankan kerja pembersihan manakala kontraktor untuk kerja membaik pulih hanya akan dipilih selepas kerja pembersihan dibuat.

"Kami juga akan membincangkan kos-kos membaik pulih tersebut setelah kerja-kerja pembersihan selesai dibuat," tambahnya.

Bumbung stadium tersebut runtuh pada Jun tahun lepas, selepas disiapkan pada Mei 2008, dengan kos RM270 juta.


Kontraktor baru untuk pembersihan itu diputuskan oleh Lembaga Tender Negeri yang bermesyuarat dua hari lepas namun nama syarikat belum didedahkan kerana masih belum terima tawaran.

Mengenai tindakan terhadap kontraktor sebelum ini yang gagal menyiapkan kerja-kerja dalam tempoh yang ditetapkan, Mazlan menjawab: "Tindakan yang diambil adalah seperti mana dalam kontrak". - Bernama

Ulasan: Kalau tak cermat, wang rakyat di bazirkan lagi. Sampai bilakah semua pihak akan menghormati wang rakyat di negara ini?

No comments: