Wednesday, May 06, 2009

7 Mei: Merakyatkan Raja Atau Menobatkan Perampas Kuasa?

Apabila Web Istana Kinta dikritik hebat gara-gara peristiwa rampasan kuasa di Perak kira-kira 3 bulan lepas, saya adalah antara orang yang sangat tidak selesa dan kecewa. Saya kecewa kerana institusi Raja diperhina dan diperlekeh oleh mereka yang tidak memahami prinsip Raja Berpelembagaan. Saya telah suarakan kegusaran saya itu di dalam blog ini dan saya juga turut menulis membela institusi Raja dalam web Istana Kinta.

Saya percaya rakyat Perak masih menghormati institusi Raja dan menyayangi Raja-Raja kita. Yang pernah tercatat dalam sejarah selalu mempermainkan, menghina dan memperlekehkan institusi Raja hanyalah UMNO dan ia berlaku berulang kali sejak zaman Tun Razak, zaman Dr Mahathir dan zaman Pak Lah memegang tampuk kuasa. Rakyat Perak memerhatikan apa yang berlaku sekarang bukanlah salah Raja, tetapi salah pemimpin-pemimpin politik gila kuasa yang sanggup melakukan apa saja bagi mendapatkan kuasa. Mereka sanggup mencolek ADUN, menimbulkan suasana panik serta kecoh dan akhirnya merampas kuasa dari pimpinan yang direstui rakyat. Ketika Raja-Raja kita bertindak dengan begitu cermat dan amat low profail, pemimpin-pemimpin politik gila kuasa ini pula berlagak seperti 'Raja segala Raja' yang menentukan arah pemerintahan sesebuah negeri dan negara.

7 Mei nanti satu lagi peristiwa penting akan berlaku dan sekali lagi institusi Raja diperhatikan rakyat apabila Sidang DUN Perak berlangsung pada tarikh itu. Sukar diramalkan apa yang bakal berlaku pada tarikh itu. Apa yang akan dilakukan oleh Speaker, apa yang akan dilakukan oleh Menteri Besar Rakyat (Nizar) dan Menteri Besar Kudeta (Zambry) dalam sidang DUN menjad tanda tanya yang menarik mata dan telinga Satu Malaysiai terarah ke Ipoh.

Sesuatu yang juga menjadi tanda tanya esok ialah apakah isi kandungan ucapan Sultan yang dijangka diwakili oleh Raja Nazrin Shah. Perdana Menteri Najib Tun Razak akhir-akhir ini terlalu teruja dengan ungkapan merakyatkan pemimpin. Jika dalam konteks Perak, merakyatkan pemimpin bermakna pemimpin harus memahami inspirasi rakyat, keluh kesah rakyat dan apa yang rakyat fikirkan. Apa yang rakyat Perak dambakan tidak sukar difahami kerana ia telah diterjemahkan dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang sebelum ini di samping hasil beberapa kajian pendapat umum yang jelas tidak percaya lagi kepada kepimpinan BN dan inginkan DUN Perak dibubarkan. Justru jika Raja Nazrin ingin dilihat sebagai Raja yang dihormati, baginda boleh memasukkan idea 'merakyatkan Raja' dalam ucapan baginda. Sesuai dengan keluh kesah rakyat Perak, baginda di akhir ucapannya boleh mengistiharkan DUN Perak dibubarkan. Jika ini dilakukan baginda - membubarkan DUN Perak esok - pasti institusi Raja lebih dihormati dan baginda akan sentiasa diingati kerana bersedia untuk merakyatkan Raja.

Namun segalanya esok di tangan baginda Raja. Raja boleh meletakkan diri baginda supaya kelihatan merakyatkan Raja atau baginda juga boleh terus mempertahankan pemerintahan BN yang dilihat berkuasa dengan kaedah yang tidak demokratik itu. Jika kepimpinan BN terus dipertahankan dalam ucapan Raja, rakyat tidak dapat melakukan apa-apa. Pemimpin-pemimpin BN selama ini sentiasa menampakkan diri mereka sebagai Raja Segala Raja dan jika kuasa BN terus dipertahankan maka Sidang DUN akan menyaksikan kejayaan BN yang akan terus berlagak melebihi kuasa Raja-Raja. BN kini dilihat rakyat Perak sebagai perampas kuasa dan jika terus berkuasa bermakna usaha menobatkan perampas kuasa di persada pemerintahan negeri akan terus tercatat dalam tinta hitam sejarah Perak.

Oleh: pendikar gunung kriang (http://pendikargunung.blogspot.com/)

No comments: