Thursday, May 14, 2009

Program tarbiah untuk pasangan bermaksiat

KUANTAN 13 Mei - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan memperkenalkan program tarbiah terhadap pasangan Islam yang ditahan kerana melakukan maksiat antaranya dengan membawa mereka melawat rumah mayat.

Timbalan Pengarahnya, Ghazali Abdul Aziz menegaskan, usaha sedemikian dianggap lebih berkesan daripada hanya memberi kuliah atau penerangan untuk menyedarkan mereka daripada terus bergelumang dalam kegiatan maksiat.

''Program kesedaran menerusi kuliah dan penerangan dilihat kurang berkesan dan kita mahu mereka melihat sendiri keadaan orang yang meninggal dunia sekali gus menyedarkan bahawa hidup di dunia bukan untuk berseronok semata-mata," tegas beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Briged Gerak Gempur Cegah Maksiat di Dewan JAIP di sini hari ini.

Ghazali menegaskan, selain rumah mayat, pelaku maksiat juga akan dibawa menziarahi pesakit kronik di hospital dan rumah orang tua bagi meningkatkan kesedaran.

''Golongan yang terlibat dalam program tarbiah ini bukan sahaja yang terbabit dalam maksiat seksual, tetapi juga dalam kes perjudian dan ajaran sesat," jelasnya.

Menurut beliau, program tarbiah itu akan dijalankan oleh Briged Gerak Gempur Cegah Maksiat yang pertama ditubuhkan di negeri ini.

''Buat masa ini, briged ini hanya ditumpukan di daerah Kuantan dan akan diperluaskan ke daerah lain tidak lama lagi," katanya.

Beliau menjelaskan, pasukan briged itu tidak terlibat dalam operasi penangkapan maksiat, sebaliknya bertindak sebagai pemberi maklumat dan menjalankan program susulan terhadap mereka yang ditahan melakukan perbuatan sumbang itu.

''Selama ini, kita memberi penekanan kepada penguatkuasaan dan hukuman ke atas pelaku maksiat tanpa tindakan susulan untuk menyedarkan mereka," katanya.

Mengenai dengan briged itu, tambah beliau, selain pegawai agama, ia akan dianggotai oleh polis, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Rukun Tetangga (RT).

''Kita juga mempelawa individu yang prihatin terhadap masalah sosial supaya menyertai briged ini. Kita akan memberikan pakaian seragam dan kad keahlian kepada mereka yang berminat," katanya.

Ghazali menjelaskan, briged tersebut tidak terbabit dalam operasi pencegahan maksiat bagi mengelakkan sebarang tuduhan penyalahgunaan kuasa sebagaimana pernah berlaku terhadap sebuah pasukan yang ditubuhkan di Selangor sekitar tahun 90-an lalu.

Ulasan: Terima kasih kerana mewujudkan Briged Gerak Gempur Cegah Maksiat. Pada waktu yang sama rakyat tertanya-tanya mengapakah kerajaan tidak menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menutup jalan-jalan kearah maksiat tetapi melebarkannya menjadi lebuh raya maksiat? Kerajaan BN sepatutnya MALU kerana 50 tahun memegang kuasa tapi maksiat semakin menjadi.

No comments: