KUALA LUMPUR 5 Mei - Lima Sasterawan Negara buat pertama kalinya menyatakan pendirian bersama menolak Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Malah dua daripada mereka yang hadir pada sidang akhbar hari ini iaitu Datuk A. Samad Said dan Profesor Muhammad Salleh sedia ditarik balik gelaran berkenaan jika keadaan memerlukan.
Muhammad mengakui apa yang lebih penting adalah bahasa Melayu perlu kembali dimartabatkan sebagai bahasa ilmu di sekolah dan universiti demi masa depan bahasa itu sendiri.
"Kita tidak menentang penguasaan bahasa Inggeris kepada anak-anak kita tetapi kaedah pembelajaran yang perlu diperbaiki supaya lebih berkesan.
"Kerajaan perlu merujuk kepada model pengajaran bahasa dari negara Denmark, Sweden, Norway, Belanda dan Belgium yang pengajarannya lebih baik walaupun pelajaran bahasa Inggeris hanya mula diperkenalkan di sekolah menengah,'' katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar bersama mengenai bantahan terhadap PPSMI yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di Rumah Pena di sini.
Tiga lagi Sasterawan Negara yang menentang PPSMI ialah Datuk Shahnon Ahmad, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Abdullah Hussain.
Bagaimanapun mereka tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.
Mereka berlima merupakan Sasterawan Negara yang masih hidup daripada sembilan sasterawan yang menerima anugerah tersebut.
Muhammad menambah, kerajaan perlu sedar pemenang Anugerah Nobel bukannya dari negara yang mengamalkan bahasa Inggeris sebaliknya berasal dari negara seperti Perancis, Jerman dan Sepanyol.
"Bagi menjadi sebuah negara maju, ia bukan berpunca akibat kurangnya penguasaan bahasa Inggeris tetapi ia bergantung kepada budaya kerja yang rapi dan berdisiplin,'' katanya.
Beliau turut mempertikaikan kesimpulan yang diperoleh Kementerian Pelajaran tidak sama dengan butiran perbincangan.
"Semasa perbincangan, hampir 80 peratus tidak bersetuju dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik tetapi kesimpulan yang diberikan berlainan sama sekali,'' jelasnya.
Muhammad dan rakan-rakan juga akan menemui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran secepat mungkin bagi membincangkan isu itu.
"Jalan perbincangan masih ada melalui apa yang diumumkan oleh Muhyiddin hari ini bahawa dia telah mengarahkan kajian mengenai PPSMI dilanjutkan,'' katanya.
Bagi A. Samad, beliau bimbang dengan keputusan penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang terpilih itu akan menciptakan dua jenis warganegara Malaysia pada jangka masa panjang.
"Pertama, mereka yang menguasai bahasa Inggeris dan bidang sains dan teknologi sementara kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai bidang-bidang sastera atau sains sosial,'' katanya.
Dalam masa sama, beliau bersama rakan-rakan yang lain mengakui akan terus berjuang mengenai isu pemansuhan PPSMI melalui cara masing-masing.
"Kita akan menyedarkan ahli politik dan rakyat bahawa jika mereka ini akan hilang bahasa, mereka akan hilang jati diri,'' ujarnya.
No comments:
Post a Comment