Wednesday, May 27, 2009

Setahun projek SK Paya Keladi terbengkalai


MURID-MURID makan di merata-rata tempat pada waktu rehat kerana masalah kantin dan blok tambahan Sekolah Kebangsaan Paya Keladi, Kepala Batas, Pulau Pinang yang terbengkalai semalam.

KEPALA BATAS 26 Mei - Kira-kira 800 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Keladi di sini terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa apabila projek pembinaan blok baru di sekolah itu terbengkalai sejak setahun lalu.

Ekoran masalah itu, sekolah tersebut terpaksa dibahagikan kepada dua sesi iaitu pagi dan petang kerana bilangan bilik darjah yang tidak mencukupi selain kekurangan kemudahan.

Sepanjang tempoh itu, murid serta guru sekolah juga terpaksa menggunakan khemah sementara pada waktu rehat memandangkan bangunan kantin sudah dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek berkenaan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Mansor Abdul Samad berkata, bilik tandas sekolah juga didapati banyak yang rosak sekali gus mengakibatkan rasa tidak selesa para guru dan murid.

''Justeru, kami merayu pihak berkenaan supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi membolehkan projek terbabit boleh diteruskan dan disiapkan segera.

''Ia sudah terbengkalai begitu lama dan ia mendatangkan kesan buruk kepada proses pembelajaran murid-murid,'' katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mansor berkata, projek itu dimulakan sekitar September 2007 tetapi dihentikan pada sekitar Disember lalu atas sebab-sebab yang tidak dinyatakan oleh kontraktor.

Katanya, projek berkenaan dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah kekurangan bilik darjah selain pembinaan sebuah dewan bagi memudahkan aktiviti di sekolah tersebut.

''Selepas projek berhenti, tapak pembinaan ditinggalkan begitu sahaja dan ia dikhuatiri akan mengakibatkan kesan negatif termasuk menjadi tempat pembiakan nyamuk,'' jelasnya.

Selain itu, katanya, jarak tapak projek dengan blok sedia ada hanya dipisahkan kira-kira 20 meter dan ia mengancam keselamatan murid-murid…

Ulasan: Selalunya masalah pasca kontrak boleh dielakkan dengan memberi tender seperti syor juruukur bahan JKR. Tidak pelik berlaku macam-macam masalah bila lembaga tender mengenepikan pandangan profesional juruukur bahan berdaftar. Wahai juruukur bahan: Pertahankan kewibawaanmu dan maruahmu, jangan sekali-kali makan rasuah.

Mutakhir: Projek SK Paya Keladi disambung semula

KEPALA BATAS 27 Mei - Kerja-kerja pembinaan projek blok Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Keladi di sini yang bernilai RM3.8 juta yang terbengkalai sejak setahun lalu akan disambung semula tidak lama lagi.

Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Ibrahim Mohamad berkata, pihaknya difahamkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa tender bagi penyambungan semula projek itu sudah dianugerahkan kepada kontraktor baru.

Beliau menjelaskan, kontraktor baru sebelum ini telah menarik diri daripada meneruskan projek itu pada Disember tahun lalu.

"Kita sudah minta penjelasan daripada JKR dan mereka memaklumkan bahawa tender projek tersebut sudah pun dianugerahkan kepada kontraktor baru.

"Tetapi kita belum diberi sebarang pengesahan apabila projek itu akan disambung semula," katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan tinjauan di sekitar sekolah tersebut hari ini.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan keperitan lebih 800 murid sekolah itu yang terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa apabila projek pembinaan blok baru di situ terbengkalai sejak tahun lalu.

Ekoran masalah itu, sekolah tersebut terpaksa dibahagikan kepada dua sesi iaitu pagi dan petang kerana bilangan bilik darjah yang tidak mencukupi selain kekurangan kemudahan.

Sepanjang tempoh itu, murid serta guru sekolah juga terpaksa menggunakan khemah sementara pada waktu rehat memandangkan bangunan kantin sudah dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek berkenaan.

Sementara itu, Ibrahim menafikan bahawa projek terbengkalai di sekolah itu mengakibatkan murid lelaki dan perempuan terpaksa berkongsi tandas.

"Sekarang ada tiga tandas murid lelaki dan dua untuk murid perempuan, jadi isu murid berkongsi tandas tidak sepatutnya timbul," katanya.

Beliau menjelaskan, setiap blok bilik darjah di sekolah itu ada mempunyai tandas untuk kegunaan murid-murid.

Ulasan: Awad yang pertama, ikut syor QS? Awad sekarang, ikut syor QS? QS (juruukur bahan) di latih menilai keupayaan kontraktor tanpa memihak kepada sesiapa dari sudut keupayaan teknkal dan kewangan dan pengalaman dalam melaksanakan projek yang sama.




No comments: