Monday, May 11, 2009

Makanan tidak halal punca masalah sosial - Nooh

JOHOR BAHRU 10 Mei - Gejala sosial seperti mat rempit, ragut dan hubungan luar nikah di kalangan masyarakat yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini mempunyai kaitan rapat dengan faktor pengambilan makanan yang tidak halal.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut, berkata, bagi umat Islam, mereka sedar bahawa mencari rezeki yang halal merupakan satu tuntutan wajib dalam apa jua aspek kehidupan, bermula daripada pemakanan hingga memperoleh pendapatan untuk menyara keluarga.

"Namun kelalaian mengikut nafsu dan kejahilan diri menyebabkan kita tidak menitikberatkan soal halal dan haram kerana makanan yang diambil untuk diri sendiri dan keluarga itu akan menjadi darah daging.

"Justeru, sekiranya kita mahu memperbetulkan kepincangan yang ada dalam sistem sosial terutamanya membabitkan generasi muda, ia perlu bermula daripada aspek yang paling asas termasuk makanan halal," katanya ketika berucap pada majlis lawatan di Pusat Penyembelihan Ayam (CPC) Pandan di sini, baru-baru ini.

CPC merupakan projek penswastaan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dengan Mahabuilders Sdn. Bhd., melalui syarikat Triton Worldwide. 

Pusat berkenaan yang beroperasi 24 jam itu memiliki kapasiti menyembelih dan memproses ayam sebanyak 100,000 ekor sehari.

Pusat itu menyediakan perkhidmatan penyembelihan dan pemprosesan menggunakan mesin yang berteknologi dari Perancis dan mengikut garis panduan syarak apabila mematuhi peraturan syarak dengan menggunakan penyembelih yang bertauliah dari MAIJ.

Nooh berkata, mencari makanan yang halal dan bebas daripada subahat atau keraguan adalah sesuatu yang wajib bagi umat Islam kerana jika mereka memandang remeh soal halal dan haram pemakanan harian, dibimbangi akan mempengaruhi sahsiah dan keperibadian generasi akan datang.

Jelas beliau, makanan halal bukan sahaja membabitkan proses yang mengikut syarak semata-mata, tetapi juga mesti mempunyai aspek kebersihan dan tidak mendatangkan mudarat kepada manusia.

"Malah makanan yang dijamin halal mengikut syarak bukan sahaja dituntut kepada orang muslim, tetapi turut memberi banyak kebaikan kepada bukan muslim terutamanya dalam aspek pemakanan yang sihat dan berkhasiat.

"Ini kerana makanan yang halal itu adalah makanan yang bersih, baik dan selamat untuk dimakan," katanya.

Tambahnya, kajian secara saintifik telah membuktikan bahawa haiwan yang disembelih dengan cara yang betul seperti yang dituntut oleh hukum syarak mempunyai banyak kebaikan antaranya bebas daripada penyakit, tahan lama dan lebih sedap.

Ulasan: Jangan ikut sedap saja, tetapi ikutlah peraturan agama.

No comments: