Wednesday, May 06, 2009

BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA PENYATU NEGARA

Pernyataan Akhbar oleh Sasterawan Negara
Siaran akhbar Sasterawan Negara mengenai isu bahasa penyatu bangsa dan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, di Rumah PENA pada 5 Mei 2009.
Mereka diwakili oleh Prof. Muhammad Haji Salleh dan Datuk A. Samad Said.

BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA PENYATU NEGARA

Kami, penerima Anugerah Sastera Malaysia, ingin menyambut usaha Kerajaan menyatukan bangsa-bangsa di Malaysia dalam rancangan 1Malaysia yang baru diperkenalkan. Sudah sampai waktunya kita bergerak ke depan dengan langkah dan arah yang sama.

Di negara-negara yang rakyatnya bersatu, seperti di Kanada, Amerika, Australia, Jepun, Korea dan China, bahasalah yang menjadi alat penyatu. Bahasa itu memberi metafora bangsa yang dikongsi oleh semua suku dan ras. Bahasa bersama membenarkan penduduknya berhubungan antara satu sama lain dengan halus dan canggih dan sama-sama memimpikan bangsa yang besar.

Bahasa adalah dasar keapda kebudayaan, sekiranya kita menggunakan bahasa Inggeris maka budaya yang akan tercipta adalah budaya yang dipancarkan oleh bahasa itu, mungkin dengan sedikit salutan budaya tempatan yang berbagai-bagai.

Bagi membina ilmu yang berpadu, kita juga memerlukan sebuah bahasa yang canggih, yang berkembang berterusan. Bahasa Melayu yang sudah matang ini dibina untuk ribuan tahun oleh nenek moyang kita, dan kita sudah memperbarui dedikasi kita kepadanya pada tahun 1957, dengan Kemerdekaan Tanah Melayu, dan setelah itu sebagai Negara Malaysia. 

Bahasa Melayu bukan sahaja menjadi suatu alat komunikasi dan medium bagi mendapatkan ilmu, tetapi terkandung di dalamnya cara berfikir, konsep alam, nilai masyarakat serta ilmu tradisional, agama dan budaya Melayu/Malaysia dan juga jati diri, khususnya yang terjalin dalarn semua jenis sastera, 1isan dan tulisan. Dengan memberi tempat yang lebih dominan kepada bahasa Inggeris untuk bidang-bidang terdinamik maká kita merampas kemungkinan bahasa kebangsaan kita daripada menjadi bahasa besar dan serba boleh. 

Sementara itu kita diingatkan kepada suatu kajian oleh Open University di London yang meramalkan bahawa dalam 30 tahun bahasa Melayu akan menjadi bahasa keempat terbesar di dunia. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita dewasa ini supaya memupuk bahasa yang tua lagi indah ini supaya bila sampai pada waktunya bahasa ini sudah benar-benar menjadi bahasa dunia.

Di sebalik kajian ini juga kita mendapati bahawa bahasa Inggeris tidak lagi akan menjadi hahasa pertama di dunia, malah hanya mendapat tempat ketiga, iaitu selepas Mandarin dan Sepanyol.

Berikut adalah di antara hujah mengapa bahasa Melayu harus kembali dijadikan bahasa matematik dan sains, malah bahasa ilmu di sekolah dan universiti:

1. Tujuan pencapaian penguasaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di Malaysia boleh dibaiki dengan kaedah mengajar yang lebih berkesan dan suatu sikap terhadap bahasa yang lebih sihat. Sekiranya kita merujuk kepada pengalaman negeri Belanda maka kita akan menemui contoh bagaimana bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman hanya diperkenalkan pada peringkat sekolah menengah. Tetapi oleh kerana cara pengajaran yang baik dan berkesan, maka selepas tamat sekolah menengah pelajar-pelajar ini sudah boleh bercakap dan menulis dalam bahasa-bahasa ini dengan baik, iaitu lebih baik daripada pelajar Malaysia bercakap bahasa Inggeris, walaupun pelajar Malaysia telah belajar selama 11 atau 13 tahun. Kita juga mungkin perlu merujuk kepada model pengajaran bahasa di Denmark, Sweden dan Norway yang bangga dengan bahasa ibunda mereka sendiri tetapi dapat menggunakan bahasa antarabangsa lain dengan fasih. Oleh sebab itu contoh kita seharusnya bukan Singapura, tetapi Scandinavia, Belanda, Belgium dan Switzerland.

2. Pemegang Anugerah Nobel dalam semua bidang bukan sahaja datang daripada negara-negara berbahasa Inggeris, tetapi lebih banyak berasal daripada negara bukan berbahasa Inggeris seperti Perancis, Jerman, Jepun, Spanyol, Switzerland, India dan Bangladesh. Yang mencemerlangkan mereka bukanlah bahasa lnggeris tetapi ilmu yang baru dan eksperimen yang penuh tekun dan berterusan. Suasana ilmu adalah faktor penting yang menggerakkan mereka kepada kejayaan peringkat tinggi.

3. Beberapa masalah yang dihadapi di negara kita bukan berpunca daripada penguasaan bahasa Inggeris. Terdapat banyak negara yang pernah dijajah oleh Inggeris yang menggunakan bahasa itu sebagai bahasa pengantar di sekolah tetapi nampaknya kucar-kacir pentadbiran serta ekonomi dan ilmunya. Sebaliknya di Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah membawa kita jauh ke dalam dunia industri, sains dan teknologi.

4. Sekiranya kita tidak mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar kepada semua bidang ilmu maka kita, terutama kerajaan BN, akan dituduh dalam sejarah sebagai pemusnah bahasa Melayu. Bahasa Melayu adalah sebuah bahasa yang lama, dan dahulu sudah menjadi lingua franca di rantau Asia Tenggara. Dan untuk beberapa dekad selepas kemerdekaan, bahasa Melayu sudah bangun dan menjadi kuat semula, hinggalah diturunkan darjatnya oleh kerana arahan supaya bahasa Inggeris dijadikan alatan mengajar ilmu di bidang matematik, sains dan teknologi.

5. Dengan keputusan ini dan penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang-bidang terpilih dewasa ini maka dengan sendirinya kita telah mencipta dua jenis warganegara Malaysia: yang pertama warganegara yang menguasai bahasa Inggeris dan bidang sains dan teknologi, dan seterusnya yang kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai bidang-bidang sastera dan sains sosial, iaitu bidang-bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya.

6. Kami menyokong dasar yang membuka mata dan ilmu pelajar kepada dunia yang luas, relevan dan kemaskini. Kami tidak membantah pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, malah ingin mencadangkan bahawa lebih banyak bahasa antarabangsa diajarkan. Namun untuk perkembangan budaya dan jati diri bangsa MaIaysia kita perlu mempunyai sebuah bahasa penyatuan yang dipelajari, didalami dan dibanggai oleh seluruh rakyat Malaysia. Sementara itu kerajaan juga harus mengajar bahasa ibunda pelajar-pelajar ini di peringkat sekolah rendah supaya bahasa itu tidak pupus.

Sekiranya kita bandingkan warganegara Malaysia dengan warganegara Thailand atau Indonesia, rakyat Malaysia tidak terbukti sebagai dapat menguasai bahasa kebangsaannya, tidak bangga dengan budayanya dan tidak jelas jati dirinya. Sebabnya adalah kerana sastera dan budaya tidak menjadi mata peIajaran penting, dan oleh itu kurang diendahkan.

Bersama pengajaran bahasa Melayu yang teratur dan rapi pelajar harus diperkenalkan kepada karya-karya penting sastera Melayu di peringkat sekolah rendah dan menengah secara wajib. Inilah yang dilakukan di semua negara Perancis, Jerman, China, Jepun dan Korea. Hanya di Malaysia anak-anak, dan sekarang ini orang dewasa, tidak pernah mengenali atau membaca karya agung leluhur mereka seperti Sulalatus al-Salatin, Hikayat Hang Tuah, dan Tuhfat al-Nafis, yang banyak melukis sejarah bangsa serta nilai-nilai dan juga jati dirinya. 

Banyak lagi hujah yang dapat kami tuliskan. Tetapi hujah-hujah yang telah diturunkan ini, kami rasa adalah mencukupi.

Datuk A Samad Said
Prof. Muhammad Haji Salleh
Datuk Sahnon Ahmad (uzur)
Datuk Abdullah Hussein (uzur)
Datuk Noordin Hassan (uzur)

5 Mei 2009
Rumah PENA, Kuala Lumpur.

Sumber: http://profabdullah1.wordpress.com/

No comments: