UMNO suatu ketika dulu dianggap sebagai parti keramat, parti yang menyelamatkan bangsa melayu. Tanpa UMNO, tiadalah Melayu. Itulah falsafah orang Melayu pada beberapa dekad yang lalu. Zaman sekarang yang serba moden, falsafah itu sudah tidak lagi digunakan, cuma mungkin diamalkan oleh sesetengah orang yang berotak kemetot. Yang masih setia rata-ratanya terdiri daripada pengundi di saluran 1. Dahulu parti ini disokong kuat oleh orang Melayu, sehinggakan parti saingannya, yang juga merupakan parti Melayu, iaitu PAS, gagal menyaingi popularitinya.
Ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh PAS ketika dulu kurang mendapat sambutan, terutamanya di sebelah negeri Pantai Barat dan juga Selatan. Pernah Mohamad Sabu menceritakan semasa berceramah di Negeri Sembilan pada tahun 80-an dulu, "tukang bagi ceramah 5 orang, yang dengaq 3 orang,". Di Johor pula, sampai peringkat Almarhum Ustaz Fadzil Noor berdoa, "semoga tumbuhan dan pokok kayu beriman kepada Allah, kerana manusia sudah tak mahu lagi beriman," kerana jumlah pokok yang mendengar ceramah melebihi jumlah hadirin! Namun, itu semua berlaku pada waktu dulu. Parti UMNO ada pasang surutnya. Pernah mengalami kekalahan di dalam PRU pada tahun 1969, 1990, dan 1999. Tapi oleh kerana terlalu lama berkuasa, mereka merasakan negara ini beserta hasil mahsulnya milik mereka sejak dari dulu hingga ke cucu cicit.
UMNO sekarang ini mempunyai Ketua Pemuda yang rasuah, dan tidak terpilih menganggotai kabinet. UMNO semakin suram, terutama sayap Pemudanya. Gagal menambat hati pengundi muda, yang majoritinya lebih cenderung kepada parti haluan kiri. Pemuda UMNO tidak lagi segah seperti mana zaman Dato' Harun Idris dan juga pada zaman Anwar Ibrahim pada tahun 80-an (foto). Mohd Ali Rustam, dibuktikan rasuah, dan tidak dibenarkan bertanding jawatan Timbalan Presiden, tetapi PM masih lagi membenarkannya mengetuai negeri Melaka. Di mana maruah UMNO Melaka? Berketuakan seorang perasuah.
UMNO sekarang ini sudah tidak relevan, Kalau dahulu, di mana-mana Pilihanraya Kecil, pasti mereka akan menang, sekarang, tengok sajalah, semenjak kalah teruk pada PRU ke 12, mana-mana PRK di adakan di semenanjung, BN pasti akan menemui kekalahan. Sekarang tidak mahu bertanding di Penanti, takut kalah. Bekas tahanan ISA, yang merupakan ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan, baru saja mengugut mahu letakkan jawatan, cepat-cepat kerajaan membebaskannya daripada ISA, takut PRK diadakan di sana pula. Isu Elizabeth Wong, ADUN Bukit Lanjan, mana ada lagi pemimpin UMNO yang menyuruh dia meletakkan jawatan, kerana bimbang akan berlaku pula PRK di sana! Di Perak? Mereka akan sedaya upaya memastikan agar DUN tidak dibubarkan, walaupun pemimpin Gerakan, beserta Timbalan Presiden MCA Chua Soi Lek, dan juga bekas pemimpin UMNO sendiri, Ku Li bersetuju agar DUN dibubarkan.
UMNO sudah menuju ke zaman kehancuran, mereka sudah tidak lagi mahu diterima oleh rakyat. Menunggu masa saja untuk ditalkinkan. Bahtera yang gah satu ketika dulu sudah bocor di sana-sini, dan akan tenggelam pada bila-bila masa, umpama kapal Titanic!
Dari: http://reformisjalanan.blogspot.com/2009/05/umno-ibarat-kapal-yang-hampir-karam.html
Ulasan: Sesuatu parti boleh datang dan pergi. Yang penting negara dan RAKYAT sentiasa mendapat manfaat dari kewujudan ssesuatu parti. Bila sesuatu parti tetap hidup tetapi menyusahkan negara dan rakyat, maka kita tentulah terlalu sudi melepaskannya pergi dan karam.
No comments:
Post a Comment