Wednesday, May 27, 2009

Matlamat Pendidikan Seks Perlu Penelitian Semula

Oleh Ibnuamir (dari http://ibnuamir.multiply.com/journal/item/47)

Istilah ‘seks’ dalam Kamus Dewan bererti – sifat-sifat yang membezakan laki-laki dan perempuan, jantina dan keinginan syahwat. Manakala ‘seksualiti’ pula-sifat tabii atau dorongan seks; dan ‘seksual’ – berkenaan seks; persetubuhan antara lelaki – perempuan. 

Adakah hal ini selari dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menitikberatkan aspek moral dan akhlak? Ini kerana, pendidikan seks pernah diusahakan di beberapa buah negara maju seperti Amerika Syarikat dan lain-lain. Hakikatnya, ia tidak menolong dalam mengurangkan kegawatan moral yang berkait rapat dengan aktiviti seksual remaja. 

Kita perlu mengkaji, adakah pendidikan ini bertujuan mengekang remaja terjebak daripada amalan seks bebas atau mengekang remaja wanita daripada hamil tanpa kahwin, atau mengelakkan kejadian buang bayi yang berleluasa? Ini kerana, setiap persoalan itu menuntut kepada kaedah pelaksanaan yang berlainan pula. 

Menurut kajian Stodghill (1998), Alan Guttmacher Institute (2001) dan Voss & Kogan (2001) di Amerika Syarikat, telah menunjukkan bahawa remaja lelaki melakukan hubungan seks ketika berusia 16 tahun dan remaja wanita 17 tahun. 

Perangkaan ini, menurut pengkaji itu, hampir sama dengan negara maju lain yang menyebabkan peningkatan kewujudan ‘ibu tunggal’ (takrif Barat – remaja hamil sebelum kahwin) saban tahun. Mereka biasanya tidak menggunakan kaedah pencegah kehamilan. 

Ekoran itu, pendidikan seks diperkenalkan di beberapa buah sekolah tinggi. Tapi, ada kritikan juga mengenainya. Iaitu, walaupun pendidikan seks semakin dikembangkan, aktiviti seksual remaja Barat tetap meningkat. 

Akhirnya, segolongan pakar berpendapat bahawa pendidikan seks cuma bertujuan memastikan agar remaja mengetahui dan memahami asas-asas untuk memelihara diri dari hamil dan mengelak dari jangkitan kelamin seperti Aids, siplis dan sebagainya dan bukan mengelakkan mereka dari melakukan seks bebas. 

Menurut Kajian Hubungan Seks Sejagat-Aspek Golongan Muda pada tahun 1999, remaja Malaysia secara purata melakukan seks 72 kali setahun. Kajian itu membabitkan 4,800 remaja dalam lingkungan 16 – 21 tahun bagi mengenal pasti tabiat seks mereka. 
Di Malaysia, menurut kajian itu juga, kira-kira 49 peratus remaja tidak mengguna kondom sebagai alat pencegahan ketika kali pertama mengadakan hubungan seks. Tetapi, kajian itu tidak menjelaskan kenapa mereka tidak menggunakannya. 

Walhal, alat pencegah kehamilan terjual di kaunter secara terbuka di kedai-kedai yang beroperasi 24 jam seperti 7–11 dan lain-lain. Dalam era teknologi maklumat & ilmu yang berkembang, adalah mustahil ramai remaja yang tidak tahu bahawa alat pencegahan itu amat sesuai menyelamatkan mereka daripada HIV dan kehamilan tanpa dirancang. 

Dalam konteks negara kita, mungkin apa yang lebih diperlukan ialah ‘klinik seks’ di mana guru kaunseling diberi latihan, kursus dan bimbingan khusus bagi menyelesaikan permasalahan seksual membabitkan pelajar bermasalah yang terpencil saja dan bukannya pendidikan seks secara terbuka dan umum pula. 

Ini kerana tidak semua hal ehwal seksualiti mesti diajar kepada semua. Mungkin hanya segelintir yang memerlukan ketika tiba waktunya. Ada ilmu yang bersifat eksklusif dan ada ilmu diajar pada ketika murid bersedia. Seperti ungkapan hikmah, ‘apabila murid bersedia, guru akan tiba.’ Justeru, adalah rugi jika guru tiba sebelum murid bersedia. 

Oleh itu, kita berharap supaya ‘Garis Panduan Pendidikan Seksualiti Kebangsaan’ yang dibentang di Kabinet dapat juga didedah kepada masyarakat supaya dibincangkan bersama secara terbuka. 

Seks adalah perlakuan yang berkaitan dengan ketagihan umpama tabiat merokok. Adakah ketagihan dapat dirawat melalui pendidikan dan kempen sahaja? Ia memerlukan azam sokongan moral dan usaha mewujudkan suasana yang lebih sihat di sekolah. 

Akhirnya, kita haruslah memikirkan kembali - adakah kedudukan pendidikan seks ini wajar dijadikan ‘pendidikan rasmi’ atau ‘pendidikan bukan rasmi’ di sekolah?

Ulasan: Di negara Barat pendidikan seks yang di perkenalkan di sekolah sejak lama dulu ternyata GAGAL membendung seks tanpa nikah. Yang suburnya selama ini ialah bayi dan anak-anak hasil zina. Apakah itik perlu di ajar berenang? Didiklah diri kita supaya menjaga kehormatan dan maruah diri, menjauhi pergaulan bebas dan menjauhi zina.

No comments: