Monday, May 25, 2009

Patutlah Kita Masih Diketawakan Orang

“Saya tidak faham, bagaimana kita menilai dan mengatakan BN mempengaruhi keputusan mahkamah? Boleh kemukakan bukti? Saya juga bimbang jika kita terlalu beremosi sehingga menolak kebenaran dan mengatakan ia adalah palsu semata-mata kerana kebenaran itu tidak menyebelahi kita.

Kalau keputusan Mahkamah Rayuan itu menyebelahi Nizar, rasanya tentu melangit pujian yang kalian akan berikan. Saya fikir itu tidak adil dalam cara kita menilai. Penilaian seperti itu masih ada sentimen politik, emosi dan hawa nafsu.”


                                                               * * * * * * * * * * * 

Petikan di atas adalah sebahagian komen yang masuk ke dalam posting saya, “Angkara BN, Kita Kembali Ke Era Raja Mutlak”.

Benar, saya dan sekian banyak orang Pas akan berperasaan begitu. Bagi kami, ya, BN memang mempengaruhi keputusan mahkamah.

Cuba analisa soalan-soalan ini. Satu, salahkah kami berperasaan begitu? Dua, mengapa kami berperasaan begitu? Tiga, semenjak bila kami berperasaan begitu? Empat, bagaimana perasaan begitu boleh lahir?

Kami beremosi semata-mata? Kami tidak objektif? Orang Pas semuanya sekolah atap sahaja? Tidak faham dan tidak tahu mana yang benar dan mana yang salah? Kami ikut hawa nafsu, sentimen politik sahaja?

Aduh, patutlah negara ini masih begini.

Negara kita lambat kehadapan, tidak semaju Singapura, tidak sekuat Jepun, tidak segagah China, tahu kenapa? Kerana rakyatnya tiada jiwa melawan, tiada jiwa menentang, tiada jiwa konfrantasi. 

Patutlah orang Melayu masih terkebelakang. Dia diajar bersopan-santun sehingga miliknya yang sekangkang kera dirampas pun, dia masih bersopan-santun dan tidak bangun melawan. "Tak apalah, ambillah kami cari yang lain!" Akhirnya, orang Melayu semuanya ke hutan sebab tanah mereka dirampas orang.

Mereka yang menerima bulat-bulat keputusan Mahkamah Rayuan kemudian berkata, “Cukuplah, hentikanlah setakat itu sahaja. Terimalah dengan hati terbuka, itu takdir. Biarlah…, serahlah…” 

Bagi saya orang itu adalah lemah, tiada jiwa melawan, tiada jiwa berjuang. Orang itu hanya memikirkan keselesaan sendiri tanpa sanggup berpayah bersama masyarakat. Orang sebegini sanggup menyerahkan haknya kepada orang lain jikalau mempertahankan hak itu memerlukan kepayahan dan kesulitan.

Pernah dengar hadis ini? Nabi pernah menjatuhkan hukuman kepada seorang lelaki. Dia pun beredar sambil berkata, “Aku serahkan semuanya kepada Allah, dialah sebaik-baik penolong.” Nabi bersabda kepadanya, “Allah mencela orang yang lemah. Kamu mesti menjadi orang yang cerdik. Jangan menyerah kalah. Apabila telah habis iktiar kamu barulah kamu berkata seperti itu.”

Saya tidak mahu menghurai mengapa kami menegaskan, BN memang mempengaruhi keputusan mahkamah. Bacalah tulisan-tulisan yang dihasilkan oleh peguam-peguam juga ahli-ahli akademik.

Dalam ilmu lojik Arab, adanya asap membuktikan adanya api. Adanya tahi unta membuktikan adanya unta. Tak mungkin kambing bertahikan unta. Terlalu banyak petunjuk yang membuktikan apa yang kami rasa itu.

Cuma, apa yang saya ingin katakan ialah, kalau kita ingin semaju orang lain, kita perlu membentuk jiwa melawan. Kalau rakyat negara ini ingin setanding rakyat negara lain, rakyat negara ini perlu memiliki jiwa melawan.

Lihat apa yang orang Cina ada. Kemudian, jawab soalan ini, "Mengapa mereka ada itu semua?" Lihat pula apa yang orang Melayu ada. Kemudian jawab soalan ini, "Mengapa orang Melayu tidak ada seperti orang Cina ada?"

Ini sekadar perbandingan bukan mengapi-apikan semangat perkauman.

Inilah kejayaan Umno selama 50 tahun memerintah negara ini. Menjadikan rakyat negara ini berjiwa hamba, berjiwa amah. Mereka berjiwa hamba sehingga sanggup melutut menyembah.

Ayuh Nizar, lawan terus dan jangan undur. Selepas Mahkamah Persekutuan, kalau kita gagal juga, kita gunakan pula mahkamah rakyat.

http://bongkarsauh.blogspot.com/2009/05/patutlah-kita-masih-diketawakan-orang.html

Ulasan: Lawan tetap lawan.

1 comment:

Unknown said...

betul cakap awak tu,kalau asyik tolak ansur ,mula -mula kita kena tolak lepas tu beransur sikit2 lama-lama bukan masuk hutan lagi malah kita terpaksa berenang ramai-ramai seberang selat melaka jadi pelarian @PATI keIndon pula..fikirkanlah ..