Wednesday, May 13, 2009

KEPUTUSAN MAHKAMAH RAYUAN MENGELIRUKAN

Tajuk asal: Perintah digantung 

Saya merasa dengan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali yang membenarkan permohonan Datuk Zambry Kadir untuk menggantung perlaksanaan penghakiman YA Hakim Datuk Abdul Aziz semalam yang mengisytiharan Dato Seri Mohamad Nizar sebagai MB negeri Perak yang sah.

Saya tidak nafikan mana-mana pihak yang terkilan dengan mana-mana keputusan seseorang Hakim berhak untuk membuat rayuan.

Namun undang-undang memperuntukkan dibawah
Aturan 13 Kaedah Mahkamah Rayuan bahawa "sesuatu rayuan tidak boleh menggantung penguatkuasaan sesuatu penghakiman".

Ini bermakna dari segi prinsip perundangan, sesuatu penghakiman itu tidak boleh digantung atau ditahan penguatkuasaannya kecuali pihak yang merayu tersebut boleh membuktikan ujud satu keadaan istimewa dimana jika penghakiman itu dilaksanakan akan menyebabkan rayuan mana-mana pihak akan menjadi hampa (jika rayuannya dibenarkan).

Didalam kes ini, keputusan Mahkamah Tinggi sekadar mengesahkan kedudukan YAB Dato Seri Nizar sebagai Menteri Besar, dan itulah kedudukan beliau sebelum daripada ini.

Jadi tidak timbul keadaan istimewa. Ianya akan jadi keadaan istimewa sekiranya keputusan itu menyebabkan negeri Perak tidak ada MB sehingga rayuan itu didengar dan diputuskan.

Keputusan itu sekadar menyatakan Zambry Kadir bukan Menteri Besar. Menguatkuasakan penghakiman tersebut bermakna beliau perlu mengosongkan pejabat dan rumah Menteri Besar.

Sekiranya rayuan beliau dibenarkan pun ianya tidak membawa apa-apa kerugian kepada beliau. Pejabat dan rumah Menteri Besar tetap ada disitu. Jawatan Menteri Besar tetap ujud dalam negeri Pera. Gajinya pun boleh dibayar semula menggantikan bulan-bulan yang beliau tidak mendapat gaji beliau sebagai MB.

Apa yang saya nampak keadaan istimewa itu hanyalah bagi BN kerana mereka kehilangan kerusi MB. Dan kehilangan kerusi MB bagi BN bukanlah keadaan istimewa saperti yang disyaratkan oleh undang-undang untuk memberikan perintah penggantungan perintah Mahkamah Tinggi tersebut.

Apatah lagi Hakim Datuk Ramly dalam perintahnya menyatakan bahawa Zambry Kadir masih lagi MB. Ini adalah merit kes itu sendiri yang mana telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebagai sebaliknya.

Bagaimana mungkin Hakim Datuk Ramly yang tidak membicarakan kes tersebut dan tidak mendengar saksi dan keterangan boleh menyatakan Zambry Kadir sebagai MB sedangkan Hakim yang membicarakan kes itu iaitu YA Dato Aziz telah memutuskan sebaliknya.

Selanjutnya saya hairan bagaimana Hakim Datuk Ramly boleh membicarakan permohonan Zambry tersebut dengan bersidang seorang diri sebagai Hakim Mahkamah Rayuan sedangkan undang-undang menyatakan dibawah Aturan 14 Kaedah Mahkamah Rayuan bahawa "melainkan dinyatakan sebaliknya, apabila sesuatu permohonan itu boleh dibuat di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rayuan, ianya HENDAKLAH dibuat di Mahkamah Tinggi dahulu" (sila rujuk juga buku Civil Procedure tulisan Jefrey Pinsler m/s 860).

Bermakna permohonan Zambry sepatutnya difail dan didengar oleh Hakim yang membuat keputusan itu dahulu iaitu YA Dato Aziz. Malahan YA Dato Aziz telah pun mengarahkan peguam Zambry supaya memfailkan permohonan secara bertulis.

Dan inilah keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes PP v. Dato Seri Anwar Ibrahim apabila membincangkan isu permohonan penggantungan hukuman penjara terhadap DSAI dahulu sementara menanti rayuan.

Jadi bagaimana mungkin Hakim Datuk Ramly sebagai Hakim Mahkamah Rayuan boleh mendengar dan membicarakan permohonan penggantungan penghakiman oleh Zambry sebelum YA Dato Aziz mendengar dan membicarakannya?

Saya khuatir keputusan Haim Datuk Ramly akan mengujudkan satu "precedent" baru yang bercanggah dengan semua prinsip dan keputusan Mahkamah-mahkamah sebelum daripada ini.

Zulkifli Bin Noordin
Ahli Parlimen
Kulim Bandar Bharu
17 Jamadil Awal 1430 

http://zul4kulim.blogspot.com/

http://angkasanuri.blogspot.com/2009/05/keputusan-mahkamah-rayuan-mengelirukan.html

Berikut ialah berita yang di bincangkan:

Zambry kekal MB Perak
PUTRAJAYA 12 Mei - Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dengan keputusan itu, status quo Zambry sebagai Menteri Besar Perak kekal buat masa ini sehingga rayuannya terhadap perintah Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) semalam diputuskan oleh Mahkamah Rayuan kelak.

Hakim Datuk Ramly Ali ketika memutuskan demikian turut memerintahkan agar tarikh awal ditetapkan bagi mendengar rayuan tersebut.

Hakim Ramly ketika membacakan penghakiman ringkasnya menyatakan, mahkamah menggunakan bidang kuasanya mengeluarkan perintah penggantungan tersebut berdasarkan kepada keunikan dan kepentingan situasi politik di Perak.

Beliau menyatakan, perkembangan di Perak bukan hanya melibatkan Zambry selaku Menteri Besar malah ia turut membabitkan keseluruhan perjalanan politik di negeri tersebut.

''Mahkamah menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi itu setelah berpuas hati bahawa perkembangan kes ini amat penting dan unik. Rayuannya akan didengar pada tarikh awal,'' ujar Hakim Ramly. 

Semalam, Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim membenarkan permohonan semakan kehakiman Mohammad Nizar, 52, agar mahkamah mengisytiharkan beliau masih Menteri Besar yang sah berdasarkan perlembagaan negeri itu kerana beliau yang bertindak menasihati sultan untuk membubarkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, setelah hampir 18 jam keputusan Mahkamah Tinggi dikeluarkan, Zambry memfailkan permohonan rasmi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan kira-kira pukul 9.30 pagi ini agar perintah itu digantung sementara menunggu rayuan selesai.

Tindakan itu dibuat berikutan keputusan Hakim Abdul Aziz semalam yang menolak permohonan lisan peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakilinya untuk menangguhkan perintah keputusan tersebut.

Permohonan itu ditolak setelah Abraham gagal mengemukakan nas undang-undang berkaitan penangguhan itu.

Selain permohonan penangguhan, Zambry hari ini turut memfailkan rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Notis rayuan itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan Zul Rafique & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di ibu negara kira-kira pukul 9 pagi ini.

Dalam prosiding hari ini, peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Mohammad Nizar berhujah agar penangguhan perintah itu ditolak dan memohon mahkamah mengembalikan isu berbangkit ke Mahkamah Tinggi.

Beliau menyatakan, Hakim Mahkamah Tinggi sudah memberi laluan bahawa penangguhan boleh dibuat asalkan Zambry memfailkan permohonan secara bertulis di samping mengemukakan nas undang-undang yang berkaitan.

Sulaiman dalam hujahnya turut memohon agar satu tarikh awal ditetapkan untuk mendengar rayuan terhadap perintah tersebut bagi membolehkan ia diselesaikan segera.

''Jalan penyelesaian yang ada ialah menolak permohonan penangguhan atau mengembalikan ke Mahkamah Tinggi melainkan mahkamah berpendapat isu berbangkit sudah akademik kerana Zambry bukan lagi Menteri Besar Perak,'' ujar Sulaiman.

Menurut beliau lagi, Menteri Besar tidak boleh membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) melainkan setelah mendapat perkenan Sultan Perak yang mana ia pernah ditolak pada kali pertama permohonan dibuat.

Kata Sulaiman, jika mahkamah menetapkan tarikh awal, kemungkinan Sultan Perak akan menangguhkan perkenan baginda (agar Dewan dibubarkan) dan menunggu sehingga keputusan dikeluarkan.

Peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry pula berhujah, perintah Mahkamah Tinggi itu perlu ditangguhkan segera bagi menyekat Mohammad Nizar memperoleh perkenan Sultan Perak untuk membubarkan DUN.

Terdahulu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang bertindak sebagai pencelah bagi kerajaan Malaysia berhujah agar isu itu diselesaikan ke peringkat Mahkamah Persekutuan secepat mungkin.

Beliau menyatakan, perkembangan politik di Perak memberi kesan kepada seluruh negara dan jika dilengah-lengahkan akan menimbulkan krisis yang berpanjangan.

Sementara itu di luar mahkamah, peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun bersama-sama Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Barisan Nasional (BN) memberitahu, keputusan itu menandakan kejayaan awal BN yang diperoleh berlandaskan kepada lunas undang-undang.

Menurut Mohd. Hafarizam, penangguhan itu dengan sendirinya menjadikan perintah semalam digantung manakala status quo Zambry serta barisan Exconya kekal.



No comments: