Wednesday, May 13, 2009

BN Macam Kucing Nampak Penyapu

Ketika PM Najib membebaskan tahanan ISA, dia berkata tindakannya itu menafikan tohmahan pembangkang bahawa kerajaan suka menahan orang tanpa bicara. Itu juga menafikan tohmahan pembangkang bahawa kerajaan BN zalim terhadap rakyat.

Maksudnya, BN memang baik dan bukan suka menahan orang di bawah ISA.

Apabila Mahkamah Tinggi membuat keputusan memihak kepada Nizar, orang Umno pun berkata keputusan mahkamah itu membuktikan mahkamah negara ini adalah bebas dan adil. Tohmahan bahawa mahkamah menyebelahi BN yang berkuasa adalah tidak benar.

Maksudnya, BN tidak mengongkong mahkamah dan mahkamah kita adil.

Ketika Pakatan Rakyat menang besar dalam pilihanraya lalu, BN berkata kemenangan itu membuktikan demokrasi di Malaysia adalah subur. Itu juga membuktikan bahawa tohmahan pembangkang bahawa SPR dikuasai BN adalah tidak benar.

Maksudnya, BN menjulang demokrasi dan SPR tidak menyebelahi BN.

Ketika Zambry diputuskan oleh mahkamah bahawa dia bukan MB Perak yang sah dan akan mengosongkan pejabat, blogger Umno berkata itu menafikan tohmahan Pakatan Rakyat bahawa Zambry gila kuasa dan dia bukan macam Nizar.

Maksudya, BN tidak gila kuasa dan MB BN adalah baik-baik belaka.

Soalan saya ialah:

   Sejak bilakah menteri BN pandai membebaskan orang daripada ISA?
   Sejak bilakah mahkamah kita bebas dan tidak tunduk kepada eksekutif?
   Sejak bilakah BN tidak berupaya mengongkong SPR?
   Sejak bilakah MB BN tidak gila kuasa?

Saya ada satu jawapan sahaja, iaitu 'sejak rakyat bangkit'. Semuanya kerana kebangkitan rakyat.

Tahanan ISA dibebaskan kerana desakan rakyat, mahkamah tidak berani mengikut telunjuk BN kerana ditekan oleh rakyat, BN tidak berani mengongkong SPR kerana himpunan rakyat dan MB BN tidak gila kuasa bila dia tahu dia akan diusung keluar oleh rakyat. 

Kalau ada blogger Umno tak percaya dengan jawapan itu, saya sarankan dan cadangkan kepada BN, ayuh, teruskan amalan itu. Tahan lebih ramai dalam ISA, kongkong mahkamah, kongkong SPR dan Zambry jangan turun. Selepas itu mari kita tengok apa jadi dengan BN. Kenapa? Kerana BN buat semua itu bukan kerana dia baik tetapi kerana dia takut.

Alaaah, macam kucing juga. Dia bukan tidak teringin dengan lauk goreng di atas meja tu, cuma tuan punya lauk pegang penyapu. Tak percaya, suruh tuan lauk tu letak penyapu. Tengok apa jadi!

Tak gitu ke sahabatku blogger Umno?

Dari: http://bongkarsauh.blogspot.com/

No comments: