KUALA LUMPUR 11 Julai - Wakil media Malaysia perlu ditempatkan di Gaza, Palestin bagi membolehkan segala maklumat yang diterima mengenai keganasan dan penderitaan penduduk di sana tepat dan tiada penyelewengan.
Wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail , 26, berkata, Malaysia tidak perlu terlalu bergantung kepada media asing kerana kebanyakannya dikawal Israel dan sekutu kuat rejim tersebut, Amerika Syarikat (AS).
"Sehubungan itu, perlu ada wakil media dari negara ini yang ditempatkan di Gaza untuk mengetahui keadaan sebenar di negara tersebut seterusnya melaporkan apa yang berlaku untuk pengetahuan rakyat Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi bertajuk Kebebasan Flotila-Pengalaman sempena persidangan Memecahkan Sekatan: Semangat Rachel Corrie dan Mavi Marmara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Ashwad dan seorang lagi krew Astro Awani, Shamsulkamal Abdul Latip, 43, berlepas dari Kuala Lumpur ke Istanbul, Turki pada 23 Mei lalu sebelum ke Pelabuhan Antalya dengan menaiki kapal Mavi Marmara untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Bagaimanapun, kapal misi bantuan kemanusiaan itu diserang komando Israel sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 19 aktivis terkorban dan 30 lagi cedera.
Ashwad berkata, media negara ini juga boleh berperanan membongkarkan kekejaman sebenar Israel sekiranya berada di Gaza.
"Apa yang dilakukan itu merupakan usaha memberi kesedaran kepada dunia tentang kekejaman sebenar rejim zionis terhadap rakyat Palestin seterusnya membangkitkan semangat untuk menentang," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sekiranya ada misi seterusnya ke Gaza, pihak penganjur perlu menyediakan sistem telekomunikasi satelit yang membolehkan rakaman secara langsung dibuat pada bila-bila masa.
"Jadi, masyarakat dunia boleh menyaksikan secara langsung sekiranya kapal dalam perjalanan ke Gaza itu diserang oleh tentera Israel," katanya.
No comments:
Post a Comment