Monday, July 12, 2010

Menang kes saman Hospital

Bekas juruanalisis kanan bank menang kes saman Pusrawi

KUALA LUMPUR 9 Julai - Bekas juruanalisis kanan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang mengalami kerosakan otak selepas menjalani pembedahan tulang belakang di Hospital Pusrawi Sdn. Bhd. (Pusrawi), hari ini memenangi kes samannya selepas mahkamah mendapati defendan cuai semasa pembedahan empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Patail yang membenarkan tuntutan Roslan Mohd. Ali, 47, dengan kos bagaimanapun tidak menetapkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar oleh pihak defendan sebaliknya memerintahkan Timbalan Pendaftar menaksir jumlahnya pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Abdul Wahab (kini Hakim Mahkamah Rayuan) turut memerintahkan supaya setiap defendan membayar RM20,000 sebagai kos guaman kepada Roslan selaku plaintif.

Sepanjang perbicaraan, beliau mendengar keterangan daripada empat saksi plaintif termasuk isterinya, Rosemah Ibrahim, 47; dan Pakar Anestesiologi dan Penjagaan Kritikal, Universiti Malaya (UM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Alex Delilkan serta empat pakar dari Pusrawi selaku saksi defendan.

''Syukur Alhamdulillah. Syukur kerana mahkamah dapat memberikan yang terbaik untuk kami sekeluarga. Saya tidak dapat melelapkan mata malam tadi mengenangkan kes ini,'' ujar Rosemah sambil menangis teresak-esak ketika ditemui pemberita di luar mahkamah. 

Roslan yang juga bekas pengurus sukan di Ibu Pejabat BSN, Jalan Ampang di sini mengalami kecacatan otak kekal setelah menjalani pembedahan di hospital itu pada 2 September 2006 untuk mengubati sakit belakang yang dialaminya.

Ekoran itu, plaintif pada 2 Februari 2007 melalui peguamnya, Cheow Wee telah memfailkan saman untuk menuntut ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk berjumlah RM500,000 selain ganti rugi am atas dakwaan defendan melakukan kecuaian.

Plaintif menamakan Pusrawi, pakar bius, Dr. Ainy Md. Aris serta dua pakar ortopedik, Dr. Mohd. Ismail Maulud bersama Dr. Didi Indra Tjahya sebagai defendan pertama hingga keempat.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa, dalam pembedahan itu, defendan kedua, ketiga dan keempat secara bersama atau berasingan telah melakukan kecuaian yang mengakibatkan tiub pembekal oksigen terkeluar daripada saluran pernafasan.

Akibat kejadian itu, otak plaintif gagal berfungsi dengan normal hingga menyebabkannya seperti 'bangkai bernyawa' yang memerlukan penjagaan berterusan sepanjang hidup.

Rosemah dalam keterangannya di mahkamah sebelum ini berkata, kejadian tersebut berlaku akibat tiub endotracheal yang membekalkan oksigen semasa pembedahan tersasar keluar daripada saluran pernafasan Roslan.

Ulasan: Kalau sudah buat silap, lebih baik mengaku dari awal. Hospital termasuk hospital pakar mesti menyemak prosedur keselamatan di patuhi. Jangan hanya suka mengenakan bayaran hospital yang tinggi….

1 comment:

Anonymous said...

Sebagai tauladan kepada doctor dan staff yang CUAI .. LALAI menjalankan tugas. Semoga pihak keluarga dapat mengunakan wang tersebut untuk beriktiar mengubati pesakit.