BANDA ACEH 27 Okt. - Undang-undang Islam yang antara lain memperuntukkan hukuman rejam sampai mati ke atas penzina dan sebat ke atas golongan homoseks di wilayah Aceh akan dikaji semula.
Undang-undang tersebut yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Aceh (parlimen wilayah) yang lalu pada 14 September lalu, akan dipertimbangkan semula oleh Majlis Perundangan yang baru dipilih.
Ia belum ditandatangani oleh Gabenor Aceh, Irwandi Yusuf yang telah menyuarakan tentangannya terhadap hukuman-hukuman keras di bawah undang-undang tersebut.
Aktivis hak asasi manusia dan pegawai di Jakarta melahirkan kebimbangan anggota badan perundangan di Aceh tidak sehaluan dengan pendirian majoriti di negara Islam berfahaman sederhana ini, dan telah meminta undang-undang tersebut ditarik balik.
"Gabenor enggan menandatangani undang-undang kecil berkenaan disebabkan peruntukan rejam yang menyamai hukuman mati," kata jurucakap kerajaan Aceh, Abdul Hamid Zein hari ini.
Menurut beliau, sejak awal lagi kerajaan Aceh tidak bersetuju dengan undang-undang rejam itu.
"Kami berharap parlimen wilayah akan membincangkan undang-undang itu semula," katanya.
Undang-undang baru itu yang memperuntukkan hukuman sehingga 400 sebatan ke atas perogol kanak-kanak, 100 sebatan untuk perbuatan homoseks dan 60 sebatan kerana berjudi, diluluskan dengan sebulat suara oleh ahli parlimen wilayah pada minggu-minggu terakhir sebelum dewan dibubarkan.
Ia bertujuan untuk menggantikan elemen-elemen dalam kanun jenayah sekular Indonesia, langkah yang mencetuskan kemarahan kerajaan pusat di Jakarta yang mahu memaparkan Indonesia sebagai sebuah negara demokrasi yang membangun dan semakin moden dengan majoriti penduduk Islamnya berfahaman sederhana.
Speaker parlimen wilayah, Hasbi Abdullah berkata, parlimen yang mula bersidang pada 30 September lalu 'pada umumnya' menentang undang-undang rejam itu dan pindaannya akan menjadi keutamaan ahli parlimen baru.
Parti Aceh pimpinan Irwandi menguasai 33 daripada 69 kerusi di parlimen wilayah. – AFP
Ulasan: Jangan mengkhianati perjuangan Acheh selama ini kerana mahukan peraturan Islam. Tanpa berpegang kepada peraturan Islam, apa yang ada pada Acheh? Tidak cukuplah tsunami dulu sebagai iktibar?
No comments:
Post a Comment