Thursday, October 08, 2009

Membaca dan menulis senjata penting sesebuah komuniti

PULAU PINANG 7 Okt. - Mempunyai kebolehan membaca dan menulis (literasi) merupakan 'senjata' penting kepada sesebuah komuniti dan negara kerana ia mampu merapatkan jurang masyarakat pelbagai latarbelakang.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, keupayaan membaca dan menulis itu mampu mempertingkatkan keyakinan dan nilai diri seseorang sekali gus memberi hidup yang bermakna.

Katanya, kebolehan itu juga memainkan peranan dalam membina asas pendidikan di sesebuah negara malah satu pelaburan untuk memperluaskan pengetahuan dan berpotensi mengubah hidup seseorang.

''Kebolehan positif ini juga boleh membantu dalam kemajuan dan prospek sesebuah negara menerusi masyarakat yang mempunyai keupayaan membaca dan menulis dan pada masa sama mampu menyatukan semua orang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Literasi Antarabangsa Ke-6 (LITCON 2009) yang dibacakan Timbalan Naib Canselor Akademik Antarabangsa USM, Profesor Ahmad Shukri Mustapa Kamal di sini hari ini.
 

No comments: