Thursday, October 22, 2009

Pembalakan Pahang punca gangguan haiwan liar

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang menerima 1,716 aduan mengenai gangguan haiwan liar berpunca daripada pembalakan di negeri itu sejak tiga tahun lalu.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, daripada jumlah tersebut, 748 membabitkan aduan gangguan gajah, 122 (harimau) manakala 846 lagi aduan berkaitan kera.

Beliau berkata, laporan bagi tempoh 2006 hingga 2008 itu adalah serius kerana ia mengancam nyawa serta menyebabkan kerugian harta benda orang awam.

Beliau berkata, tahun lalu, kerugian dianggarkan RM474,120 membabitkan lebih 20,000 tanaman kelapa sawit, getah, pisang, durian dan kelapa yang dirosakkan oleh haiwan tersebut.

"Semakan Audit mendapati gangguan gajah pada tahun 2008 sering tertumpu di kawasan ladang berkeluasan lebih 100 hektar.

"Selain tanaman penduduk musnah, gajah turut merosakkan harta benda seperti rumah dan kemudahan asas lain,'' katanya dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 yang dikeluarkan kelmarin.

Beliau berkata, selain pembalakan, aktiviti perlombongan haram di Taman Negeri Tasik Chini turut menyumbang kepada masalah pencerobohan hidupan liar ke kawasan penempatan manusia.

Menurutnya, pencerobohan di tasik tersebut adalah serius kerana ia menjejaskan kualiti air serta memusnahkan flora dan fauna di sekelilingnya.

Katanya, pengurusan hutan di negeri itu kurang memuaskan kerana aktiviti di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) sama ada secara sah ataupun haram memberi impak negatif kepada alam sekitar...

No comments: