Monday, October 05, 2009

Ulama Saudi kritik universiti terbuka

Tajuk asal: Ulama Saudi kritik universiti terbuka

RIYADH 4 Okt. - Seorang ulama terkemuka Arab Saudi mengkritik sebuah universiti baru yang dilancarkan oleh Raja Abdullah pada 23 September lalu kerana membenarkan pelajar lelaki dan perempuan menghadiri kuliah bersama-sama.

Sheikh Saad bin Naser al-Shethri yang menganggotai Jawatankuasa Tertinggi Ulama dipetik oleh akhbar Al-Watan sebagai berkata, dasar untuk membenarkan kuliah sedemikian di Universiti Sains dan Teknologi Raja Abdullah (KAUST) hendaklah dihentikan.

"Percampuran lelaki dan wanita adalah berdosa dan kejahatan besar kerana apabila lelaki bergaul dengan wanita, hati mereka tergoda dan perhatian mereka beralih daripada matlamat utama iaitu untuk mendapat pendidikan," kata al-Shethri.

Kenyataan beliau itu menandakan tentangan kuat di kalangan pihak berkuasa agama di negara ini terhadap universiti pertama Saudi yang membuka pintunya kepada pelajar lelaki dan perempuan.

Institusi lepasan ijazah yang berharga berbilion-bilion dolar itu digambarkan oleh Abdullah sebagai 'lambang toleransi'.

KAUST dilengkapi makmal tercanggih, superkomputer ke-14 terpantas di dunia serta dana pembiayaan antara terbesar di dunia.

Pegawai Saudi membayangkan universiti tersebut sebagai sebahagian penting daripada rancangan kerajaan untuk menjadikan negara ini sebuah pusat sains global, dalam usaha terbaru untuk mempelbagaikan ekonominya yang berteraskan minyak.

Al-Watan yang dimiliki oleh anggota kerabat diraja menuduh al-Shethri cuba menggendalakan program pembaharuan Abdullah dan menyifatkan kritikan beliau sebagai alasan yang boleh digunakan oleh al-Qaeda untuk melakukan keganasan.

Lebih 800 pelajar dari 61 negara sudah mendaftarkan diri di KAUST dan universiti itu mahu menambah bilangan pelajar kepada 2,000 orang dalam masa antara lapan hingga 10 tahun.

Sebanyak 15 peratus daripada pelajar adalah warga Saudi. – AP

Ulasan: Banyak negara termasuk Malaysia telah lama mengamalkan pelajar lelaki dan perempuan menghadiri kuliah bersama-sama. Hasilnya ADA pelajar yang berzina atau menghampiri zina. Bila malu  sudah terangkat, macam-macam boleh terjadi. Eloklah pemerintah @ umarak mengikut ulama kecuali ada sesuatu fakta mengatakan pegangan ulama sebagai salah.

No comments: