Friday, October 23, 2009

Laksanakan sekolah satu aliran

BUKIT MERTAJAM 22 Okt. - Sekolah satu aliran wajar dilaksanakan bagi merealisasikan matlamat 1Malaysia, kata tokoh akademik tanah air, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim.

Sehubungan itu, beliau berkata, sistem pendidikan negara perlu disusun semula agar matlamat itu dapat dilaksanakan.

Menurutnya, sekolah pelbagai aliran sekarang merupakan sistem peninggalan penjajah yang tidak mampu mewujudkan sebuah negara bangsa yang benar- benar bersatu padu.

''Sistem pendidikan sekarang tidak memerlukan sekolah pelbagai aliran kerana bahasa ibunda setiap kaum boleh dimasukkan sebagai sebahagian daripada kurikulum di dalam bilik darjah,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah umum bertajuk 1Malaysia: Cabaran dan Harapan sempena program Semarak Perpaduan dan Patriotisme Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) 2009 peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, sistem pendidikan sekarang menyebabkan rakyat sejak kecil lagi diasingkan mengikut aliran dan bahasa ibunda di sekolah masing-masing.

Katanya, kesan daripada itu, golongan dewasa tidak dapat menghayati semangat perpaduan sejati serta persefahaman sukar dijalin kerana hidup dalam kelompok mengikut kaum selepas meninggalkan alam persekolahan.

''Isu bahasa ibunda sering dibangkitkan dalam sekolah satu aliran ini, tetapi itu bukan satu masalah kerana ia boleh diajar sebagai sebahagian daripada kurikulum di dalam bilik darjah," katanya.

Kay Kim juga berkata, pihak yang membantah kewujudan sekolah satu aliran perlu menilai semula sejauh mana sistem pendidikan ketika ini boleh membantu mengukuhkan pembentukan sebuah negara bangsa.

Menurut beliau, sejarah menceritakan bagaimana penjajah British membenarkan penubuhan sekolah pelbagai bahasa di Tanah Melayu kerana kebanyakan pendatang pada ketika itu tidak mempunyai niat untuk menetap di negara ini.

Ulasan: Masalah kita yang perlu di selesaikan segera.

No comments: