Thursday, October 08, 2009

Bayi patah tangan: Nafi cuai urus kelahiran Afif

SUNGAI PETANI 7 Okt. - Kejadian bayi patah tangan kiri ketika dilahirkan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini pada 14 September lalu berpunca daripada komplikasi ketika kelahiran.

Sehubungan itu, Pengarah HSAH, Dr. Harif Fadzilah Che Hashim menolak dakwaan insiden tersebut disebabkan oleh kelalaian pihak hospital.

Katanya, ketika proses kelahiran Mohamad Afif Aidil Mohamad Shah Al Fandi, ibunya, Faezah Ibrahim mengalami kesukaran kerana bayinya tersekat di bahu.

Beliau berkata, masalah tersebut diperakukan hasil siasatan Jawatankuasa Penyiasat Aduan HSAH.

Pada masa sama, katanya, pakar perbidanan dan sakit puan yang mengendalikan kes itu terpaksa mengeluarkan bayi berkenaan segera.

"Dalam keadaan yang kritikal itu, pakar terpaksa ambil langkah kecemasan mengeluarkan bayi, jika tidak bayi itu akan mengalami kecacatan otak atau mungkin meninggal dunia akibat kelemasan di dalam rahim.

"Oleh itu, kecederaan patah tulang tangan itu tidak disengajakan," katanya.

Menurut Dr. Harif Fadzilah, Mohamad Afif Aidil mempunyai harapan sembuh tetapi mengambil sedikit masa untuk membolehkan rawatan dijalankan.

"Rawatan susulan oleh pakar kanak-kanak dan pakar ortopedik termasuk fisioterapi telah diberikan bagi memulihkan kecederaan terbabit," jelasnya.

Utusan Malaysia semalam menyiarkan laporan Bernama yang memetik Faezah, 28, dari Kampung Kuala Pegang, Baling mendakwa kecuaian petugas wad bersalin di HSAH menyebabkan bayinya yang dilahirkan di wad hospital itu menderita sakit akibat patah tangan kiri.

Faizah mendakwa, selepas melahirkan anak keduanya itu, seorang doktor memaklumkan kepada beliau bahawa tangan kiri bayi itu patah ketika dikeluarkan dan memintanya supaya tidak membuat sebarang aduan.

Katanya, disebabkan bersetuju dengan nasihat doktor itu dan percaya bayinya akan pulih seperti biasa, beliau tidak mendedahkan kecuaian petugas wad bersalin tersebut kepada mana-mana pihak sebelum ini.

Tambah wanita itu, selepas 11 hari di wad, bayi lelaki tersebut dibenarkan keluar tetapi tangan kirinya semakin bengkak dan kebiruan sehingga ke tapak tangan.

Ulasan: Kalau hospital menafikan eloklah saman di teruskan untuk mencari keadilan di mahkamah. Kenapa susah sangat kita, the so-called professionals, hendak mengakui kesilapan? Kesilapan boleh berlaku kepada sesiapa saja. Yang penting: mengakui kesilapan yang tidak di sengajakan. Hebat bila kita tak pernah lakukan kesilapan. Lebih hebat bila kita mengakui kesilapan yang kita lakukan.

No comments: