KUCHING 13 Okt. - Tanggungjawab mencegah rasuah tidak boleh diletakkan pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata tetapi membabitkan segenap lapisan pemimpin dan rakyat.
Rasuah adalah satu amalan keji dan jenayah yang bertentangan dengan ajaran agama malah ia terbukti telah meruntuhkan banyak empayar, memusnahkan bangsa dan tamadun.
Sehubungan itu, para pelajar wajar menyedari rasuah mampu memberi kesan kepada proses pembangunan dan kemajuan sesebuah negara, justeru jenayah itu perlu diperangi habis-habisan.
Norhaslina Rosli, 21, dari Kolej Perubatan Univeristi Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, memang tidak dinafikan bahawa perbuatan rasuah adalah tidak bermoral dan melanggar hukum agama Islam.
Menurut pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan itu, rasuah juga akan menyebabkan seseorang itu akan melanggar etika profesional dalam kerjaya masing-masing.
''Contohnya, pemimpin-pemimpin yang rasuah tidak akan mampu mengekalkan keamanan serta keselamatan bangsa dan negara.
''Rasuah juga akan menyebabkan perpaduan antara kaum yang pelbagai di negara ini berpecah belah yang akhirnya menimbulkan ancaman kepada keamanan negara," katanya di sini baru-baru ini.
Norhaslina menambah, seseorang yang melakukan jenayah rasuah adalah mereka yang mempunyai sakit mental dan disebabkan itu jangan berjinak-jinak dengan rasuah bagi mengurangkan masalah tersebut.
Dalam pada itu, Nur Syakina Jamali, 19, dari Kolej Sakura Unimas memberitahu, rasuah adalah perbuatan yang begitu membencikan kerana ia memang satu kesalahan di sisi agama dan undang-undang.
Katanya yang juga pelajar Fakulti Kejuruteraan, perbuatan jenayah itu tidak adil sebab golongan kaya akan bertambah kaya manakala golongan miskin akan terus tertindas serta papa kedana.
Malah, jenayah rasuah akan menyebabkan perpecahan, pergaduhan dan banyak lagi perkara yang tidak diingini berlaku dengan kecenderungan ke arah negatif.
''Rasuah juga akan menyebabkan rakyat di negara ini mungkin terpaksa merempat di bawah jambatan dan hidup umpama 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,'' katanya.
''Kesannya, rakyat memberontak kerana tidak puas hati dengan kerajaan yang ada dan berlaku perang saudara, pembunuhan beramai-ramai serta saling tidak mempercayai antara satu sama lain," katanya.
Tambah Nur Syakina, ia juga akan menyebabkan negara tidak akan dapat bersaing dan menjadi maju seperti negara-negara lain yang telah lama maju di hadapan.
Bagi Cordelia Herbert, 22, dari Kolej Allamanda Unimas berkata, rasuah akan menyebabkan soal ketirisan berleluasa dalam projek-projek pembangunan disebabkan sikap tidak bertanggungjawab pegawai yang diamanahkan.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pembangunan infrastruktur seperti hospital, sekolah, jalan raya dan sebagainya terbengkalai atau dibina tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan hingga keselamatan orang ramai terjejas.
''Walaupun sesetengah negara itu kaya dengan sumber alam, namun pembangunan infrastruktur terlalu mundur seperti jalan raya, sekolah, hospital dan kemudahan awam tidak dibangunkan secara teratur akibat perbuatan rasuah.
''Sekiranya amalan rasuah dibiarkan berterusan, undang-undang yang melindungi rakyat ketika ini akan dipinggirkan dan seterusnya memungkinkan perundangan negara ditentukan oleh pengamal rasuah," katanya.
No comments:
Post a Comment