Monday, January 11, 2010

AS mahu kenakan sekatan terhadap Israel

BAITULMAQDIS 10 Jan. - Utusan khas Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat, George Mitchell membayangkan kemungkinan AS mengenakan sekatan ke atas Israel bagi memaksanya memberi konsesi dalam rundingan dengan Palestin.

Israel hari ini membidas kenyataan beliau itu dan menuduh Palestin sebagai punca kebuntuan dalam rundingan damai.

Rundingan tergendala setahun yang lalu dan belum disambung kerana Palestin menuntut Israel terlebih dahulu menghentikan semua aktiviti pembinaan perumahan Yahudi di wilayah yang diduduki.

Israel pula berpendirian, Palestin patut kembali ke meja rundingan tanpa mengenakan syarat-syarat awal.

Mitchell dalam wawancara di televisyen minggu lepas ditanya mengenai bentuk tekanan yang boleh dikenakan ke atas Israel.

"Mengikut undang-undang Amerika, AS boleh menarik balik sokongan terhadap jaminan pinjaman kepada Israel," kata Mitchell kepada pengacara PBS, Charlie Rose sambil menegaskan pentadbiran George W. Bush sebelum ini pernah berbuat demikian.

Mitchell bagaimanapun segera menambah, beliau lebih mengutamakan pendekatan pujukan daripada sekatan.

Semasa pentadbiran Bush, Israel menerima jaminan pinjaman berjumlah berbilion-bilion dolar pada kadar faedah rendah. 

Pada 2003, AS mengurangkan nilai jaminan itu selepas Israel membina sebahagian daripada tembok pemisahnya di wilayah Tebing Barat, bukan di sepanjang sempadannya di sebelah Israel.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengeluarkan satu kenyataan sebagai membalas kenyataan Mitchell itu, dengan mempersalahkan Palestin sebagai punca kebuntuan dalam rundingan. – AP

Ulasan: Berjayakah tindakan AS itu untuk memaksa Israel? Semua penduduk tidak percaya AS mempunyai kekuatan untuk memaksa Israel. Negara penjajah haram Israel telah  menjadi sebuah negara yang baik dan bersopan kalau AS tidak berdiri di belakangnya sejak ditubuhkan 60 tahun lalu. Sayang AS terlalu LEMAH untuk memaksa Israel jadi baik.

No comments: