Friday, January 08, 2010

Tiga punca bumbung stadium runtuh

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Kementerian Kerja Raya telah mengenal pasti tiga punca utama yang menyebabkan berlakunya kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak runtuh pada 2 Jun tahun lalu.

Tiga punca itu ialah reka bentuk bahagian bumbung yang tidak mengikut spesifikasi bangunan, kualiti bahan-bahan binaan yang digunakan serta pengawasan yang lemah ketika stadium itu dibina.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, laporan kejadian itu telah dikemukakan pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya, semalam.

"Laporan punca kejadian bumbung runtuh itu telah disediakan oleh 10 penyiasat bebas daripada agensi kerajaan dan badan profesional yang dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Kabinet telah bersetuju supaya laporan kejadian itu diserahkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Hubungan Kerinchi Arah Utara, Lebuh Raya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint) di KM1.8, di sini hari ini.

Pada 2 Jun tahun lalu, bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang menjadi pusat utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008 runtuh sehingga menyebabkan kira-kira separuh daripada strukturnya musnah.

Menurut Shaziman, JKR juga telah memaklumkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu supaya memulakan kerja-kerja membaik pulih semula stadium tersebut.

Ulasan: Demikianlah projek kerajaan BN. Siapakah jurutera struktur? Siapakah kontraktor? Siapakah jurutera dan juruteknik yang mengawas dan menyelia projek? Bila rasuah membelit negara rakyat pasti rugi. 

No comments: