Hukum Islam Melarang Pembinaan Tembok Besi Bertujuan Menindas Saudara-saudara Palestin Kita.
Artikel Asal: http://www.ikhwanweb.net/article.php?id=22353
Selasa 29 Disember, 2009
oleh IUMS (Kesatuan Antarabangsa Ulama Islam)
Segala puji bagi Allah, dan selawat dan salam ke atas ar-Rasul, keluarganya, sahabat, dan mereka yang mengikuti Hidayah.
Tembok besi yang sedang dibina saat ini oleh Mesir di sempadannya dengan Gaza adalah dilarang menurut pandangan Islam. Tujuannya untuk menyekat kesemua pintu masuk ke Gaza sudah pasti akan memburukkan lagi kelaparan dan penderitaan penduduk Palestin, menghina mereka, dan meningkatkan tekanan ke atas mereka dalam usaha untuk memaksa mereka tunduk dan menyerah kepada Israel.
Sebaik mendengar berita itu, saya terus merasa sangsi dan menyatakan bahawa hal itu hanya bermaksud untuk menabur bibit perpecahan antara Mesir dan Palestin. Namun, saya sangat terkejut ketika disahkan bahawa berita itu sememangnya benar.
Kami tidak menafikan bahawa Mesir adalah negara bebas dan mempunyai hak kedaulatan ke atas tanah airnya, tapi pastinya ia tidak mempunyai hak untuk menyokong pembunuhan saudara-saudara dan jirannya di Palestin. Ini jelas tidak boleh diterima, baik di bawah alasan Arabisme atau persaudaraan Islam, bahkan atas alasan persaudaraan manusia pun.
Dalam Al-Quran, Allah yang Maha Berkuasa menyebut, “Orang-orang Mukmin adalah bersaudara” (Al-Hujurat 49:10). Juga, Nabi Muhammad (SAW) berkata, "Seorang Muslim bersaudara dengan Muslim yang lain, dia tidak berbuat salah kepadanya, mengecewakannya, atau mengabaikannya." Baginda (selawat dan salam ke atasnya) juga berkata, "Bantulah saudaramu, sama ada jika dia menindas [dengan mencegah dia dari melakukannya] atau jika dia ditindas." Nabi tidak berkata, "kepung dia, biarkan dia kelaparan, atau tindas dia bagi pihak musuhmu."
Menjadi kewajipan dan tanggungjawab Mesir untuk membuka laluan Rafah bagi manfaat warga Gaza kerana itulah satu-satunya jalan keluar bagi mereka. Kewajipan ini bukan sahaja tuntutan syariat Islam tetapi juga kehendak undang-undang. Tidak ada undang-undang yang mengarahkan cengkaman dikenakan ke atas umat Gaza atau menyuruh supaya menjadi tali barut dalam membunuh mereka.
Penduduk Gaza mengambil langkah menggali terowong sebagai usaha mencari jalan alternatif untuk mengatasi sekatan menyeluruh yang dipaksa ke atas mereka. Tetapi ia tetap ditutup walaupun bila terdapat konvoi bantuan kemanusiaan. Tindakan Mesir menyekat terowong-terowong itu adalah sama seperti mengatakan, "Palestin boleh mati, tetapi Israel tetap akan hidup."
Seluruh rakyat Mesir, Arab, Muslim dan individu-individu terhormat telah menyatakan kekecewaan mereka atas pembinaan tembok besi yang zalim itu. Mereka mengutuk fikiran yang cuba menyekat dan mematikan sebarang bentuk usaha bantuan kepada penduduk Palestin. Hal ini sangat mirip dengan perancangan (road map) Israel.
Sukar untuk dipercayai dan sungguh mendukacitakan apabila selepas Palestin mengharungi derita penindasan Israel yang mendirikan tembok aparteid itu, Mesir pula menjejakinya dengan membina satu lagi dinding untuk maslahat Israel.
Saya merayu kepada semua saudara saya di Mesir untuk berdiri teguh dan bersatu dalam menentang rejim pemerintah dan mendesaknya memberhentikan jenayah yang tak berasas ini. Saya menyeru Liga Arab dan Pertubuhan Persidangan Islam untuk campur tangan dan menghentikan tragedi ini.
Saya berharap Mesir yang bersempadan dengan Palestin tidak akan meneruskan tindakan ini; ia benar-benar bertentangan dengan kepentingan Palestin dan hanya menguntungkan Israel.
Saya berharap agar Mesir akan takut kepada Allah dan seterusnya menyokong saudara-saudara kita yang dizalimi dan dikepung, dan agar ia menjaga dirinya sendiri daripada doa saudara-saudara kita di Palestin yang ditindas dan dianiaya. Allah mengangkat doa orang yang ditindas ke atas awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit seraya berkata, "Dengan Kekuasaan dan Kemuliaan-Ku, Aku akan membuat anda menang, selepas tempoh tertentu."
Kita berlindung kepada Allah daripada setiap penindas dan kesombongannya. Ya Allah, kami ditewaskan, menangkanlah kami, dan kami dizalimi, belalah kami. Kami bermohon kepada-Mu, maka perkenankanlah kami, Wahai Engkau yang Maha Hidup dan Maha Kekal.
Sheikh Yusuf Al-Qaradawi
Presiden IUMS
Ulasan: Kenapa ada orang Islam yang tidak sedar dia sedang membantu musuh menghentam saudara kita di Palestin? Bila cinta dunia, musuh pula di sangka kawan.
No comments:
Post a Comment