SEMASA dalam perjalanan pulang dari Su-Chou-Shanghai ke Kuala Lumpur awal bulan ini, saya terbaca satu ulasan oleh kolumnis akhbar The Star mengenai perkara di atas. Apabila disemak dalam Internet, saya mendapati bahawa kenyataan Lee Kuan Yew, Menteri Mentor Singapura itu telah disiarkan pada 17 November 2009 melalui Channel NewAsia dilaporkan oleh Hoe Yeen Nie.
Mantan Perdana Menteri Singapura itu membuat pengakuan secara terbuka bahawa dasar dwi-bahasa yang telah beliau perkenalkan serta laksanakan hampir 40 tahun lalu adalah salah. Kesalahannya kerana diperkenalkan di tahap awal pendidikan. Ini disahkan oleh anaknya sendiri, seorang pakar dalam bidang neurologi.
Singapura masih mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi bahasa rasminya adalah Bahasa Inggeris. Untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, Bahasa Inggeris digunakan dari sekolah rendah hingga ke universiti. Bahasa Melayu dan Bahasa Mandarin diajar sebagai satu mata pelajaran sahaja.
Ada beberapa kesan negatif hasil dasar dwi-bahasa Kuan Yew yang diakui oleh beliau sendiri. Pertama, pelajar-pelajar keturunan Cina tidak lagi berminat dan bersungguh-sungguh belajar Bahasa Mandarin.
Begitu juga kanak-kanak keturunan Melayu, minat mereka untuk belajar Bahasa Melayu semakin kurang dan menurun. Semuanya ghairah untuk belajar Bahasa Inggeris kerana nilai ekonominya. Apatah lagi, Singapura berada di tengah kesibukan dunia perdagangan antarabangsa.
Maka kedua-dua kumpulan generasi muda ini, keturunan Melayu dan Cina sedang dilanda penyakit rendah diri (inferiority complex).
Tidak kurang parahnya adalah kesan terhadap identiti jati diri negara bangsa dan rakyat Singapura itu sendiri. Walaupun mereka rata-ratanya fasih berbahasa Inggeris, tidak mungkin mereka diterima sebagai orang Inggeris.
Majoriti penduduk Singapura adalah keturunan Cina dan bahasa pertama mereka sepatutnya Mandarin. Bagi orang Melayu pula, bahasa ibunda mereka adalah Bahasa Melayu.
Bagi keturunan Cina, mempelajari Bahasa Mandarin adalah sukar dan membosankan. Adalah lebih mudah menumpukan perhatian untuk belajar dan menguasai satu bahasa sahaja, iaitu Bahasa Inggeris.
Tetapi Bahasa Inggeris tidak mampu menjadi jiwa dan unsur jati diri kepada keturunan Cina mahupun orang Melayu di Singapura.
Kita patut berterima kasih dan rasa beruntung kerana tidak membuat kesilapan seperti yang dilakukan oleh Kuan Yew. Hendak berundur ke belakang, Singapura telah terlanjur jauh ke hadapan.
Bagi Malaysia, pemansuhan PPSMI baru-baru ini serta pengenalan dasar penggantinya MBMMBI (Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris) patut dialu-alukan dan diberi sokongan yang tidak berbelah bahagi. Ia selaras dengan kebanyakan negara di Eropah (Perancis, Itali, Greece, Turki, Jerman, Belanda, Norway, Sweden, Finland, England dan lain-lain) dan Timur Jauh (China, Korea Selatan, Jepun) yang sudah maju dengan mengutamakan bahasa nasional masing-masing untuk tujuan pendidikan, jati diri serta kemajuan negara. Utusan Malaysia, 27 Januari 2010 / 11 Safar 1431.
Penulis ialah Profesor di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Ulasan: Negara sudah lama merdeka. Kenapa pula memuja bahasa penjajah?
No comments:
Post a Comment