BANGALORE 14 Jan. - Sebuah syarikat India menemui cara inovatif untuk memanfaatkan timbunan sampah plastik yang bersepah di bandar raya ini dengan memprosesnya menjadi bahan untuk membuat jalan.
K.K. Plastic Waste Management, syarikat yang diusahakan oleh dua beradik, Ahmed dan Rasool Khan, memungut beribu-ribu tan buangan plastik dari tong sampah di seluruh pusat teknologi maklumat India ini menerusi rangkaian pekerja perbandaran, pengutip barang lusuh dan pekerja mereka sendiri.
Plastik itu kemudian dicincang dan dicampur dengan asfalt untuk menjadi sebatian yang dikenali sebagai bitumen berpolimer.
Menurut dua beradik itu, apabila digunakan sebagai bahan penurap jalan, sebatian tersebut boleh tahan lebih lama menghadapi cuaca musim monsun dan kegunaan harian berbanding kaedah tradisi, dan penggunaannya juga menyebabkan jalan kurang berlubang.
Dakwaan mereka itu disokong oleh saintis.
Pakar lebuh raya dan jalan di sini, Profesor C.E.G. Justo berkata, proses mencampur plastik buangan dalam pembinaan jalan meningkatkan prestasi jalan berkenaan.
"Plastik buangan menyerap masuk ke dalam rongga-rongga dalam sebatian bitumen dan menjadikannya lebih tahan rosak dalam keadaan cuaca basah," kata Justo kepada Reuters Television.
Ahmed Khan yang merupakan Pengarah Urusan syarikat itu berkata, idea tersebut timbul sedekad yang lalu sewaktu pelbagai pertubuhan melancarkan kempen untuk mengharamkan penggunaan plastik.
"Setiap hari 10,000 tan plastik dibuang dan kesemuanya dihantar ke tapak pelupusan sampah. Berapa banyak daripadanya boleh kita hapuskan?
"Di sana, plastik itu tidak lusuh atau hancur dan kesudahannya akan menjadi masalah, jadi inilah jalan penyelesaian terbaik," kata Ahmed.
Sampah selebihnya yang diasingkan daripada plastik boleh ditukar menjadi kompos, ujar beliau.
Beberapa kerajaan negeri di India mengharamkan penggunaan beg plastik sejak beberapa tahun lalu, walaupun Bangalore belum berbuat demikian. - Reuters
Ulasan: Negara kita perlukan rakyat kreatif untuk menyelesaikan pelbagai masalah pencemaran.
No comments:
Post a Comment