Friday, January 29, 2010

Habatussauda bantu rawat penyakit Alzheimer

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan makanan tambahan berasaskan habatussauda yang boleh bertindak sebagai ejen membantu merawat penyakit Alzheimer dan berkaitan kardiovaskular.

Ketua Laboratori Bioubatan Molekul institut tersebut, Prof. Dr. Maznah Ismail berkata, makanan tambahan fraksi kaya timokuinon (TQRF) itu diekstrak daripada habatussauda atau jintan hitam yang banyak digunakan dalam perubatan zaman silam di rantau Asia Barat.

"Habatussauda dipilih sebagai bahan asas terhadap produk TQRF kerana ia mempunyai banyak kebaikan dan khasiat untuk kesihatan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Alzheimer merupakan penyakit berkaitan daya ingatan, manakala penyakit kardiovaskular berkaitan dengan tahap kesihatan jantung, darah tinggi dan tahap kolesterol dalam darah.

Dr. Maznah berkata, habatussauda dari Yaman, Iran dan Sudan dipilih kerana mempunyai kualiti yang tinggi dan boleh menghasilkan minyak TQ sehingga 40 peratus lebih tinggi berbanding daripada dari India dan Sri Lanka.

Katanya, kelebihan produk TQRF juga ialah ia mempunyai antioksida yang tinggi iaitu berpotensi mengurangkan penyakit kardiovaskular dan mempunyai kesan perlindungan terhadap ketoksikan protein amiliod beta yang menjadi penyebab utama penyakit Alzheimer…

Ulasan: Marilah kita mengamalkan sunnah Nabi SAW.

No comments: