KUALA LUMPUR 25 Jan. - Seorang pemuda yang didakwa menghina Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail yang mangkat Jumaat lalu dalam blognya hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan, petang ini.
Lelaki berusia 29 tahun itu dikatakan menyerah diri kira-kira pukul 4.40 petang selepas artikel yang disiarkan mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak di seluruh negara khususnya rakyat Johor.
Sehingga hari ini, polis Johor menerima 25 laporan terhadap penulis blog berkenaan.
Sehubungan itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff menubuhkan satu pasukan khas menyiasat perkara tersebut dan memberi jaminan penulis terbabit akan diheret ke mahkamah.
Lelaki tersebut dikatakan menghina Almarhum Sultan Johor yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong dalam satu artikel dan disiarkan dalam blognya, adukataruna.blogspot.com baru-baru ini.
Susulan daripada kecaman pelbagai pihak, penulis itu kemudian menyiarkan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap keterlanjuran dirinya dalam blog sama, kelmarin.
Dia juga menarik balik artikelnya itu sebagai tanda mengaku salah dan berjanji akan memperbaiki tingkah laku dari semasa ke semasa.
Sumber memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sekiranya terbukti bersalah lelaki berkenaan boleh dihukum penjara tiga hingga tujuh tahun.
Siasatan kes itu difahamkan dikendalikan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Ulasan: Jom kita pakat tulis yang elok-elok saja. Tulislah sesuatu yang membuka minda membawa rakyat ke martabat mulia.
No comments:
Post a Comment