PATCHOGUE 13 Jan. — Saya seorang Islam. Saya tidak boleh terima ganjaran ini''. Itulah kata-kata yang diluahkan oleh seorang pemandu teksi di New York apabila dia ditawarkan ganjaran atas kejujurannya.
Mohammad Mukal Asadujjaman adalah seorang pemandu teksi warga Bangladesh di New York turut menerima pujian atas kejujurannya memulangkan semula wang tunai berjumlah $21,000 (RM66,960) milik seorang pelawat dari Itali.
Fellicia Lettieri,72, tertinggal dompetnya, yang mengandungi wang miliknya dan enam ahli keluarganya ketika menaiki sebuah teksi di Manhattan sehari sebelum perayaan Krismas lalu.
Polis sebelum itu telah memaklumkan kepada pelancong Itali itu agar mereka tidak menaruh harapan untuk menjumpai semula beg duit berkenaan
Bagaimanapun, Mohammad Mukal telah memandu teksinya sejauh kira-kira 80 kilometer untuk pergi ke Long Island berdasarkan alamat yang terdapat di dalam beg duit berkenaan untuk memulangkan dompet itu kepada tuannya.
Namun begitu, ketika dia tiba di alamat berkenaan, tidak ada sesiapa berada di rumah berkenaan dan Mohammad Mukal terpaksa meninggalkan nombor telefonnya dan kemudian kembali semula untuk menyerahkan wang berkenaan.
Pemandu teksi berusia 28 tahun itu ditawarkan ganjaran atas kejujurannya, namun dia berkata, sebagai seorang penganut Islam, dia tidak boleh menerima ganjaran tersebut. – AP
Ulasan: Cukuplah Allah membalas kebaikan kita. Akhlak mulia menyebabkan Islam tersebar cepat di muka bumi.
No comments:
Post a Comment