Tuesday, January 26, 2010

Jumaah Majlis Diraja Johor nafi khabar angin

Jumaah Majlis Diraja nafi khabar angin

JOHOR BAHRU 25 Jan. - Jumaah Majlis Diraja Johor hari ini menafikan khabar angin bahawa tindakan saman dan tangkap dikenakan terhadap rakyat negeri ini yang melanggar tatacara berpakaian semasa tempoh berkabung sempena kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail pada Jumaat lalu.

Sambil menafikan sekeras-kerasnya khabar angin berkenaan, Setiausahanya, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, pihaknya meminta orang ramai tidak mempercayai perkara tersebut kerana tidak terdapat kes demikian yang dilaporkan sehingga kini.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin berkabung adalah dengan perasaan tulus ikhlas mereka sendiri bagi menunjukkan perasaan taat setia dan kasih sayang ke atas jasa Almarhum Sultan Iskandar tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

"Tatacara pemakaian semasa tempoh berkabung adalah secara sukarela dan kalau ada berita mengatakan pihak-pihak tertentu mengambil tindakan sama ada denda atau tangkap, ia adalah tidak benar,'' katanya pada sidang akhbar di Istana Besar di sini.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Setiausaha Kerajaan Negri Johor, Datuk Abd. Latiff Yusof.

Sidang akhbar itu diadakan berikutan khabar angin yang tersebar di negeri ini apabila terdapat segelintir pihak mendakwa disaman dan ditangkap oleh polis dan Askar Timbalan Setia Negeri berikutan tidak mematuhi tatacara berpakaian semasa berkabung selama tujuh hari.

Beliau berkata, Sultan Johor yang baru amat peka dan prihatin kepada rakyat serta baginda menitahkan waktu dan tatacara pemakaian semasa tempoh perkabungan perlu lahir daripada semangat tulus ikhlas.

"Jika hendak berkabung, tatacara pemakaiannya bagi lelaki Islam adalah memakai lilitan kain putih selebar dua inci pada songkok dan wanita Islam memakai tudung kepala berwarna putih.

"Bagi bukan Islam, mereka boleh memakai lilitan hitam selebar tiga inci di lengan kiri atau jika tidak boleh berpakaian begitu atas sebab-sebab tertentu, maka boleh memakai tali leher berwarna hitam.

"Tempoh perkabungan sehingga hari ketujuh selepas pemakaman iaitu hari terakhir pada Sabtu ini," katanya.

Abdul Rahim berkata, selain itu semua bendera yang terdapat di negeri ini sama ada bendera Persekutuan, negeri atau korporat diminta dinaikkan separuh tiang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada orang ramai mengenai tindakan disaman atau ditangkap itu.

Katanya, polis menasihati orang ramai agar tidak mempercayai individu tidak dikenali yang menahan atau meminta bayaran denda kerana tidak mematuhi tatacara semasa tempoh berkabung…

Ulasan: Semoga masa berlalu menjadi saksi bahawa berita yang tersebar hanya khabar angin. Dengan mengambil hati rakyat, rakyat akan menyayangi dan membelamu sampai bila-bila..

No comments: