Thursday, January 14, 2010

Imigresen buru pendatang asing tanpa izin (PATI)

PUTRAJAYA 13 Jan. – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengkaji semula empat aspek utama dalam usaha mengelak berulangnya kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, aspek-aspek itu melibatkan prosedur kemasukan, mekanisme pemantauan dan penyediaan sistem maklumat, strategi penguatkuasaan serta semakan perundangan.

“Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Induk Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing (JIPP Warga Asing) yang diadakan semalam.

“Susulan dari keputusan itu, sebuah Jawatankuasa Kerja telah ditubuhkan untuk meneliti setiap aspek yang telah digariskan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat JIPP Warga Asing itu adalah semakan semula semua prosedur kemasukan warga asing ke negara ini sama ada melalui visa, pas dan permit.

Beliau berkata, walaupun kemasukan warga asing akan membawa manfaat kepada ekonomi negara tetapi perlu ada mekanisme untuk memastikan ia tidak disalahgunakan kerana ia melibatkan isu keselamatan negara.

“Kita memandang serius kes salah guna visa di kalangan warganegara India seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

“Untuk itu, kita sedang menilai beberapa pendekatan seperti mengkaji semula kemudahan transit tanpa visa, memperketatkan pemeriksaan masuk, meningkatkan ciri-ciri keselamatan pengeluaran visa, mengurangkan tempoh sah visa tanpa rujukan,” katanya.

Selain itu, Hishammuddin berkata, pihaknya akan menambah baik dan memantapkan aspek penguatkuasaan melalui pembentukan strategi dan pendekatan yang akan mengambil kira kaedah terkini pergerakan masuk dan keluar serta mobiliti PATI dalam negara.

Katanya, ia juga akan melibatkan pemantauan pergerakan warga asing apabila sesuatu visa, pas atau permit yang dikeluarkan kepada mereka telah tamat tempoh sah laku…

Ulasan: Alangkah bahagia bila tiada rasuah, semua undang-undang dilaksanakan. Langkah pertama ialah Hapuskan Rasuah.

No comments: