KOTA BHARU 13 Jan. - Kerajaan Pas Kelantan mengambil pendirian yang sama dengan Selangor yang tidak membenarkan kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam.
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagaimanapun berkata, pihaknya tidak akan mengeluarkan arahan berkaitan kerana keadaan di negeri ini yang memperlihatkan keharmonian antara kaum.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan keadaan semasa ekoran beberapa insiden yang boleh mencetuskan ketegangan.
"Pada asasnya saya sudah jawab, memang boleh guna (kalimah Allah) tetapi oleh kerana ada mainan di belakang, jadi untuk menyekat perkara yang tidak betul ini maka menurut 'usul fiqah' ia harus disekat.
"Benda harus kalau bahaya perlu disekat, tetapi kalau benda harus ada manfaat wajib dilakukan macam air. Kalau minum air sejuk sebab baik maka wajib. Tetapi kalau doktor kata minum air sejuk tak baik, maka harus disekat dan wajib minum air panas.
"Untuk menyekat daripada celaru di atas niat yang tidak baik guna kalimah Allah, maka kita boleh terima sekatan ini perlu dibuat tetapi di Kelantan saya harap tidak akan berlaku macam itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya semua pihak di negeri ini berpegang teguh pada pendirian mengharamkan pengunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa dilaporkan berkata, titah itu dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan baginda pada 5 Januari lalu.
Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, beliau percaya rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini memahami keadaan sebenar di sebalik isu ini.
"Peringkat pertama kita hendak kekalkan harmoni, peringkat kedua kita tengok keadaan, saya rasa tak sampai ke peringkat itu lagi (keluarkan arahan) di Kelantan.
"Kita hendak guna kefahaman rakyat Kelantan bahawa Allah ini memang nama bagi Allah cuma saya hendak naik setangga lagi, orang yang nak pada kalimah Allah lebih baik ambil Islam sekali jangan ambil nama saja, ambil agama Allah itu sendiri," katanya.
Ulasan: Kawan-kawan Kristianku, janganlah cuma hendakkan kalimah Allah tetapi lebih baik ambil Islam sekali. Jangan ambil nama saja, ambil agama Allah itu sendiri.
No comments:
Post a Comment