Tuesday, May 04, 2010

Hanya satu peratus projek gagal siap ikut jadual

JELI 3 Mei - Sebanyak 99 peratus atau 3,737 projek yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) berjaya disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, hanya kira-kira satu peratus 'projek sakit' yang dirancang gagal menepati jadual dan masih dalam pembinaan.

Menurutnya, jumlah projek sakit itu tidak membimbangkan malah kementerian telah menggandakan usaha dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) di setiap negeri untuk menyiapkannya.

"Dalam masa sama, sebanyak 1,873 projek masih dalam pelaksanaan dan projek sakit tidak membimbangkan kementerian kerana sebenarnya hampir 99 peratus projek yang ada telah disiapkan.

"Cuma dari segi projek yang mengalami masalah antara sebabnya adalah berpunca daripada kontraktor yang bermasalah, bahan binaan, pengambilalihan tapak, perubahan skop, utiliti dan cuaca," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat tapak Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bukit Bunga di sini hari ini.

Kata beliau, walaupun masih terdapat beberapa projek sakit terutama di negeri ini seperti pembinaan CIQ Bukit Bunga dan Jambatan Sultan Yahya Petra 2, namun ia tetap diberi keutamaan untuk disiapkan.

Tegas beliau, kedua-dua projek berkenaan telah dilancarkan sejak 2007 lagi namun sehingga hari ini ia belum berjaya disiapkan sepenuhnya.

Justeru, katanya, perbincangan dengan Kementerian Kewangan akan dilakukan untuk memastikan selepas ini hanya kontraktor yang mempunyai kemahiran dan kebolehan sahaja diberikan kontrak....

Ulasan: Jangan tertipu dengan statistik kerana 1,873 projek masih dalam pelaksanaan gagal siap ikut jadual. Ertinya hampir 2000 projek. Kontraktor yang bermasalah tidak patut melaksanakan sebarang projek.

 

No comments: