Tuesday, May 04, 2010

Jabal Omar buka peluang kepada pelabur negara

MEKAH 3 Mei - Projek Jabal Omar bernilai SR18.4 bilion (RM9.92 bilion) di sini menawarkan banyak potensi bagi para pelabur Malaysia, terutama sekali di dalam bidang hartanah.

Projek yang meliputi kawasan 22.8 hektar itu terletak berdekatan Masjidil Haram.

Penasihat kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Jabal Omar Shuja Zaidi berkata projek itu dilaksanakan mengikut permintaan pasaran, dari pasaran pertengahan rendah hingga pasaran paling mewah.

"Apabila siap kelak, ia dijangka menempatkan 45,000 penduduk dan 150,000 jemaah sepanjang tahun. Peningkatan bekalan bilik akan turut membolehkan penambahan bilangan ketibaan dari semua pasaran yang termasuk pasaran perantara yang kecil seperti Maghribi dan Sepanyol," katanya kepada Bernama selepas taklimat kepada delegasi Malaysia di sini baru-baru ini.

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah kini mengetuai satu delegasi ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi di dalam usaha, antara lain, untuk mewujudkan hubungan pelaburan antara Malaysia dan kedua-dua negara Teluk itu.

Majlis penerangan bergerak itu, anjuran Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), adalah satu inisiatif untuk menempatkan Malaysia sebagai satu pusat kewangan Islam antarabangsa.

Shuja, yang juga Pengurus Besar Makkah Hilton and Towers berkata, hotel berjenama besar kini sedang berbincang untuk mengambil sebahagian daripada Jabal Omar.

Bagaimana pun, beliau tidak menjelaskan butirannya. Projek itu, yang dijangka siap pada 2013, akan mewujudkan satu pusat model kediaman dan komersial yang dilengkapi jalan raya, jalan pejalan kaki, terowong, tangga elektrik dan kemudahan lain.

Kini, 20 peratus daripada projek itu telah disiapkan.

Selain itu, pembinaan projek awam di sekitar kawasan itu, yang dijangka siap pada masa yang sama dengan Jabal Omar, akan turut melengkapi pembangunan projek hartanah itu. - Bernama
  
Ulasan: Mekah dan Madinah haram untuk bukan Islam. Jangan pula duit mereka di gunakan untuk melabur di Jabal Omar macam yang telah di lakukan oleh orang UMNO.
Nama kita tapi duit orang. Kemasyhuran kita dapat, duitnya tiada.

No comments: