Monday, May 03, 2010

1.92j pekerja asing yang sah setakat 31 Disember 2009

KUALA LUMPUR 3 Mei – Lebih 1.92 juta pekerja asing yang sah berada di negara ini sehingga 31 Disember tahun lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, jumlah yang direkod itu adalah berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia.

Beliau berkata, daripada 1,918,146 pekerja asing itu, Indonesia mencatat bilangan paling tinggi iaitu 991,940 orang, diikuti Bangladesh (319,020), Nepal (182,668), Myanmar (139,731) dan India (122,382).

Abu Seman berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Ir. Zamri Yusuf mengenai statistik pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pekerja asing berpermit ke negara ini pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak mempunyai data yang tepat mengenai bilangan PATI kerana kemasukan golongan itu adalah tidak sah dan tidak direkod oleh mana-mana agensi.

"Bagaimanapun kerajaan menganggarkan pada masa ini terdapat seramai 1.9 juta pendatang tanpa izin iaitu berdasarkan anggaran bagi setiap seorang pekerja asing yang sah terdapat seorang pendatang tanpa izin,” katanya. – Bernama

Ulasan: Kerana hendak cepatkan ekonomi Malaysia, kita buka pintu kepada orang asing datanglah beramai-ramai. Duit balik ke negara mereka, maksiat dan noda kita menanggung derita.

No comments: