Thursday, October 21, 2010

Bajet 2011 ketepi keutamaan rakyat

harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Okt: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa menyifatkan Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri sebagai hilang fokus dan lari dari kehendak sebenar yang ditagih rakyat.

Sebaliknya, Datuk Seri Najib ketika membentangkan bajet tersebut 15 Oktober lalu lebih fokus kepada projek-projek yang bukan prioriti negara.

Membahaskan bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini beliau berkata, kerajaan sepatutnya mendahulukan keperluan orang awam terutama golongan miskin yang tertindas, daripada para penguasa dan orang-orang kaya.

"Apa makna bangunan Warisan Merdeka 100 tingkat menelan belanja RM5 bilion, walhal pada masa sama masih ramai golongan muda, penjawat awam, swasta yang belum mampu miliki rumah yang selesa meskipun bekerja selama 10 tahun," katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Biarpun bajet yang diumumkan mahu transformasi ke arah negara maju, namun Kerajaan kata Nasharuddin masih terkebelakang apabila masyarakat peneroka Felda masih dinafikan hak mereka.

"Peneroka Felda di Malaysia kira-kira 113 ribu orang. Malangnya tiada langsung peruntukan diumumkan kepada mereka.

"Bahkan kerajaan lebih mementingkan memansuhkan duti import pada kadar 5 hingga 30 peratus ke atas barang-barang kegemaran pelancong seperti pakaian malam, seluar dalam," katanya.

Dalam soal pendidikan pula, bajet 2011 katanya juga tidak mementingkan soal pendidikan agama dengan hanya memperuntukkan RM95 juta sahaja kepada Sekolah Agama Rakyat.

Menurutnya, dengan jumlah pelajar lebih 250 ribu, seorang pelajar sekolah agama rakyat hanya mendapat RM20, berbanding peruntukan kepada hanya sebuah Pusat Permata Pintar RM111 juta.

Dalam pembinaan lebuhraya pula, kerajaan sepatutnya mengutamakan projek pembinaan lebuhraya Pahang-Kelantan berbanding lebuhraya Guthrie-Damansara mahupun Paroi-Senawang.

Ianya kerana, beribu-ribu rakyat Kelantan terpaksa terperangkap dalam kesesakan sehingga 15 jam di musim perayaan.

"300 barangan yang tidak perlu dikenakan cukai itu bagi saya tidak diperlukan rakyat.

"Rakyat saya di Bachok tidak perlu bag tangan Gucci, Yang Dipertua," katanya sebelum menutup perbahasan.

No comments: