GENEVA 12 Okt. - Kumpulan aktivis pro-Palestin merancang untuk menghantar flotila kapal bagi mencabar sekatan tentera laut Israel ke atas Genting Gaza seawal Februari depan dalam percubaan kedua seumpamanya dalam tempoh kurang setahun.
Aktivis yang mewakili kumpulan dari lebih 12 negara termasuk Switzerland, Turki dan Amerika Syarikat (AS) itu berkata, flotila tersebut adalah lebih besar daripada flotila yang disekat oleh komando Israel awal tahun ini.
Sembilan aktivis terbunuh apabila komando Israel menggempur kapal Mavi Marmara pada 31 Mei lalu, mencetuskan kecaman keras masyarakat antarabangsa dan mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melancarkan dua siasatan mengenai serangan itu.
"Flotila itu nanti bukan untuk menghantar bantuan semata-mata," kata Huwaida Arraf daripada Perikatan Flotila Pembebasan kepada wartawan di ibu negara Switzerland ini, semalam.
Sebaliknya tujuan flotila itu adalah untuk menunjukkan sekatan Israel ke atas aliran bantuan ke Gaza boleh dilanggar.
Antara kumpulan yang merancang untuk menyertai flotila pada Februari depan ialah badan kebajikan Islam Turki, IHH yang menaja pelayaran Mavi Marmara pada Mei lalu.
Wakil IHH, Ahmet Faruk Unsal berkata, IHH bercadang untuk menghantar sebuah kapal sebesar Mavi Marmara, kapal terbesar dalam flotila pertama.
Sebuah pertubuhan AS, U.S. Boat to Gaza turut merancang untuk menghantar bot, kata aktivisnya, Jane Hirschmann.
Bot itu akan diberi nama The Audacity of Hope, iaitu judul buku karangan Presiden AS, Barack Obama. - AP
Ulasan: Terima kasih kepada Israel yang bersusah-payah membantai warga Palestin selama ini yang menyebabkan satu dunia menjadi prihatin terhadap warga Palestin.
No comments:
Post a Comment