Friday, October 15, 2010

Hotel bajet atas kubur lama dibantah

PULAU PINANG 14 Okt. - Waris Kapitan Kling, bekas ketua kaum India muslim di negeri ini membantah tindakan sebuah syarikat pemaju hartanah terkemuka mengendalikan operasi hotel bajet di atas tanah kubur berusia lebih 200 tahun di Jalan Kolam di sini.

Pada masa sama, waris terbabit, Tunku Ismail Tunku Abdullah turut mempersoalkan kewajaran pihak berkenaan membina hotel di atas tanah makam yang menempatkan para moyang dan waris-warisnya yang lain.

Menurutnya, pembukaan hotel itu juga telah membelakangkan sensitiviti waris dan turut mencemari kesucian tanah yang menempatkan 20 kubur lama.

Paling dikesali beliau apabila struktur utama makam dirobohkan dan yang tinggal hanya tiangnya manakala kubur lain disatukan dan landskap makam ditukar menjadi seperti taman bunga.

''Walaupun waris Kapitan Kling tidak membantah kerja ubah suai landskap tanah makam dilakukan sebelum ini, tidakkah pihak terbabit fikirkan perkara itu secara logik.

''Ini tanah makam, kawasan lama pula dan ia diwakafkan waris terdahulu sebagai tanah perkuburan untuk masyarakat setempat, oleh itu kewajaran ia dimajukan bagi tujuan komersial patut dipertikaikan," jelasnya.

Kawasan tanah makam seluas kira-kira 0.6 hektar itu merupakan peninggalan Kapitan Kling atau nama sebenarnya Caudeer Mohudeen yang merupakan seorang saudagar terkenal di Georgetown satu ketika dulu.

Ia dikatakan menempatkan makam tiga isteri Kapitan Kling dikenali sebagai Che Minah iaitu isteri pertama, Mak Ma (isteri kedua) dan Tengku Maheran (isteri ketiga) yang juga kerabat diraja Kedah.

Tanah makam itu kini dikelolakan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) yang sebelum ini turut membangunkan projek pembinaan deretan rumah kedai di Lebuh Buckingham yang terletak di kawasan bersebelahan….

Ulasan: Tak pelik bila orang mengejar duit. Kenapa Majlis Agama pun tumpang sekaki?

No comments: