14 sukarelawan VP5 selamat pulang ke tanah air
SEPANG – Ketibaan 14 warga Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan konvoi jalan darat Viva Palestina Kelima (VP5) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini kira-kira jam 4.30 petang semalam disambut meriah oleh lebih 200 orang ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.
Laungan takbir bergema di celah-celah sepanduk yang mempamerkan kata-kata kesyukuran dan tahniah atas kejayaan wira-wira ini ‘menembusi’ tembok yang mengepung Gaza.
Selepas sidang media di sebuah bilik VIP di kawasan Balai Berlepas, tingkat lima KLIA, para sukarelawan bergerak ke pentas khas di tingkat yang sama untuk satu majlis khas. Hadirin yang kebanyakannya mengenakan pakaian bertema Palestin ternyata ceria dengan kepulangan mereka. Ramai juga yang kelihatan memakai baju bertulis ‘Aqsa Syarif’, ‘Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)’ serta ‘Viva Palestina Malaysia’.
Doa ringkas dibacakan oleh Pengerusi Aqsa Syarif Berhad, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus. Beliau sendiri merupakan bekas sukarelawan misi jalan laut ‘Lifeline 4 Gaza’ yang terbabit dalam peristiwa serangan ke atas kapal ‘Mavi Marmara’ di Laut Mediterranean pada 31 Mei lalu.
Konvoi misi jalan darat ini dipimpin oleh Viva Palestina Malaysia (VPM) yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Adnan Mohd Tahir bersama empat anggota VPM lain. Ia turut disertai oleh tujuh sukarelawan Aqsa Syarif serta seorang wartawan dan seorang jurukamera sebuah stesen televisyen swasta utama tempatan. Kesemua mereka bergabung dengan konvoi Viva Palestina United Kingdom (VPUK) sebelum bertolak ke Gaza.
Konvoi besar VP5 bertolak dari London pada 18 September 2010. Laluan mereka di England, Itali, Perancis, Turki, Greece, Syria dan Mesir mendapat sambutan hangat penduduk tempatan yang turut menyokong usaha murni ini.
Ketua sukrelawan Aqsa Syarif, Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar (gambar kiri) ketika ditemui menyifatkan sambutan yang mereka terima di negara-negara tersebut sebagai salah satu kejayaan VP5.
“Walaupun melalui tempoh yang agak panjang iaitu 40 hari, kami mengambil kesempatan itu untuk berkempen bagi menyedarkan masyarakat dunia bahawa usaha yang bersungguh-sungguh sedang dilakukan untuk memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza,” jelasnya.
Dua lagi kejayaan yang dicapai adalah matlamat memasuki Gaza dan menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia berjumlah RM250,000.
“Kami sangat bersyukur kerana dapat menyampaikan jumlah wang tersebut dengan tangan sendiri kepada tiga pertubuhan (NGO) di Gaza yang terdiri daripada persatuan-persatuan Islam. Antara projek yang sempat kami lawati adalah projek pendidikan yang merupakan usaha sama Aqsa Syarif dengan Pertubuhan Mawaddah Malaysia (Mawaddah),” tambah beliau.
Dr Mohd Zin kagum dengan komitmen warga Gaza yang tidak menyia-nyiakan segala sumbangan yang mereka terima dari luar.
“Projek ternakan lembu di utara Gaza, misalnya, menyaksikan hasil ternakan yang sihat dan berkembang biak. Kami turut dihidangkan keju dari hasil tenusu mereka. Kami juga menyumbangkan kira-kira €20 ribu kepada sebuah hospital pakar kanser kanak-kanak di bandar raya Gaza.
“Tetapi paling mengujakan saya adalah projek ekopelancongan (ecotourism) yang dikendalikan cukup Islamik dengan landskap yang menarik, padang permainan, kawasan pantai, kolam renang berasingan untuk lelaki dan perempuan dan disertakan juga kolam ternakan ikan air tawar.”
Kehadiran konvoi di Gaza, menurut beliau lagi, dikerumuni oleh banyak NGO yang ingin bekerjasama dalam projek-projek penambahbaikan taraf hidup penduduk di sana.
Sementara itu, Penyelaras Jawatankuasa Bantuan Perubatan VPM, Datuk Dr Musa Mohd Nordin (gambar kanan) bersyukur kerana kesemua sukarelawan dapat kembali untuk bersama keluarga di tanah air, tetapi dalam masa yang sama pilu kerana terpaksa meninggalkan bumi Gaza.
“Bagaimanapun kita bersyukur kerana berjaya menyampaikan sumbangan berjumlah RM16 juta berupa bantuan perubatan dan alat-alat pelajaran. Sumbangan ini diserahkan kepada Pedana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh yang mengagih-agihkannya pula ke hospital-hospital dan sekolah-sekolah di sana.”
VP5, kata Dr Musa, adalah penerusan usaha sedunia untuk mengembalikan hak rakyat Palestin kepada pemiliknya.
“Perdana Menteri Palestin sampai mengatakan para sukarelawan dari luar inilah pejuang sebenar kerana berjaya ‘menembusi’ tembok yang dibina Israel. Beliau berharap usaha ini akan berterusan kerana dengan kesedaran, lama-lama tembok itu benar-benar akan runtuh.
Misi ini merupakan yang pertama disertai Dr Musa. Beliau telah dilantik oleh VPUK sebagai koordinator perubatan bagi memastikan ubat-ubatan yang dihantar belum luput tempoh, selain bertanggungjawab memantau kualiti semua barangan.
“Berbeza dengan tahun lepas yang mana kita menghantar empat buah ambulans tanpa pemandu, pada kali ini kita menghantar enam buah ambulans yang dipandu sendiri oleh rakyat Malaysia (dua orang untuk sebuah ambulans) ditambah dengan seorang wartawan dan seorang jurukamera,” kata Dr Musa lagi.
Sebelumnya, Presiden IKRAM, Dr Mohd Parid Syeikh Ahmad menyampaikan cenderamata dan sumbangan kepada setiap sukarelawan yang terlibat. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Mawaddah yang juga Ketua Wanita IKRAM, Ustazah Maznah Daud.
Para sukarelawan turut menyanyikan lagu popular ‘Barisan Kita’ yang telah diubah suai kepada tema perjuangan membebaskan Gaza. Lebih menarik, Dr Musa yang mengetuai nyanyian tersebut terlebih dahulu menjemput seorang sukarelawan yang merupakan guru silat, Abdul Wahab Yahya untuk mempersembahkan seni silatnya.
Sukarelawan lain yang menyertai VP5 ini adalah Azra Banu Mohd Sidik, Azhar Shamsuddin, Jafri Azman Dahlan, Mohd Taufek Abdul Rahman, Mohd Yusuf Ahmad, Mohd Faisal Mohd Idrus, Ustaz Rofazlin Jusoh, Norazmi Talib, Azmi Katiman dan Siti Azura Nordin.
http://www.ikram.org.my/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=89:14-sukarelawan-vp5-selamat-pulang-ke-tanah-air&catid=3:terkini&Itemid=65
No comments:
Post a Comment