KUALA LUMPUR 17 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu UMNO serta semua sayap parti mengadakan lebih banyak program berbentuk mendampingi rakyat di kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang dan bukannya di kawasan selamat.
Perdana Menteri berkata, keutamaan perlu diberikan kepada usaha tersebut kerana sasaran UMNO adalah untuk mengembalikan semula sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).
Katanya, memang tidak dinafikan langkah itu akan menyebabkan pemimpin dan ahli UMNO terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran tetapi ia tidak harus mematahkan semangat mereka demi masa depan parti.
''Jangan fikir hendak cari jalan di kawasan selamat sahaja sebaliknya kita hendakkan kawasan yang lebih mencabar. Tidak kiralah sekiranya kita dikutuk, dititik dan diragut. Asalkan atas nama perjuangan kita tidak akan berundur tetapi kita terus mara ke hadapan.
''Saya hendak semangat ini. Jangan takut kerana kita akan jaga keselamatan semua. Walaupun kawasan pembangkang kita akan perjuangkan apa yang sepatutnya kita perjuangkan. Bahagian Ampang inilah antara kawasan yang kita harapkan akan kembali ke pangkuan BN,'' katanya.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Skuad Sayang 1Malaysia di Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang dekat sini hari ini…
Ulasan: Nasihat yang sama untuk Pakatan Rakyat iaitu dekati kawasan BN untuk menyelamatkan negara dan rakyat.
No comments:
Post a Comment