Monday, October 18, 2010

Bajet raih undi, bukan ekonomi pendapatan tinggi

Dr Azman Ibrahim  

Bajet 2011 berjumlah RM213 bilion, RM162.8 bilion untuk belanja mengurus, RM49.2 bilion untuk pembangunan. Maknanya belanja mengurus 3 kali ganda belanja pembangunan. JPM sendiri terima peruntukan sehingga RM15 bilion berbanding RM78 juta untuk parlimen.

Bajet ini satu petunjuk yang sangat jelas, pilihan raya sudah dekat. Bajet yang disasarkan untuk mendapat undi, bukan ekonomi berpendapatan tinggi. GST tak jadi dibuat, elaun pengerusi JKKK dan elaun mesyuarat JKKK naik, elaun Tok Batin naik, elaun Tok Imam naik (tapi kenapa bilal tak naik), elaun guru KAFA naik, imbuhan yang pelbagai tapi adakah rakyat akan merasai imbuhan tersebut? Atau imbuhan-imbuhan ini hanya perangkap. Apa perlunya dibina Menara Warisan PNB setinggi 100 tingkat dengan kos RM5 billion tetapi beban hidup rakyat tidak diringankan.

Menarik kononnya untuk menghargai kaum wanita, cuti bersalin dianjalkan 60 hari ke 90 hari, ada orang kata kerajaan pusat tiru dasar cuti bersalin 90 hari kerajaan PR Selangor. Sebenarnya tidak. Dianjalkan dari 60 hari kepada 90 hari, maknanya kakitangan awam wanita boleh tentu sendiri berapa hari mereka nak cuti bersalin antara 60 hingga 90 hari dengan maksima 300 hari sepanjang perkhidmatan. Berapa puluh tahun pun seorang wanita bekerja dengan kerajaan, cuti bersalin mesti tak lebih 300 hari. Tak ada tambahan apa-apa. Maknanya boleh beranak setakat 3 orang saja. Lepas itu tak ada dah cuti. Kalau siapa nak beranak 5 tetap kena ambil cuti bersalin 60 hari sebab 60 x 5 = 300. Tak sama dengan dasar cuti bersalin 90 yang kerajaan Selangor buat. Jangan cepat rasa seronok. Kena kira betul-betul.

First Lady Rosmah bukan menteri kabinet tetapi Program TADIKA PERMATA PINTAR Rosmah seakan ambil alih dan mengecilkan peranan kementerian Shahrizat. Walaupun Rosmah tak ada sebarang jawatan rasmi, tapi program PERMATA yang dia urus dapat bajet istimewa. RM111 juta peruntukan hasil duit rakyat diberikan seorang suami kepada first lady tersayang sedangkan untuk SAR rendah dan menengah hanya RM95 juta diperuntukan. Satu lagi projek kerajaan BN. Isteri didahulukan, SAR dianak tirikan.

Duti import antara 3 hingga 5 peratus dimansuhkan untuk kira-kira 300 jenis barang-barang kegemaran pelancong dan rakyat tempatan seperti beg tangan berjenama, kasut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut, pakaian dalam, seluar dalam, minyak wangi. Mampukah rakyat biasa beli beg tangan berjenama? Kalau mampu pun, apakah ini keperluan mendesak. Penyembur rambut, minyak wangi, seluar dalam import. Semua ni keperluan siapa? Keperluan orang kampung atau keperluan mak datin. Seluar dalam pun masuk bajet. Ada orang kampung pakai minyak wangi import, penyembur rambut import? Berapa ramai rakyat biasa pakai dompet berjenama? Kalau Bajet untuk rakyat, rakyat mana? Apakah rakyat dengan makna kita masyarakat bawahan atau dengan makna ahli politik dan kroni. Kalau bukan untuk rakyat biasa maknanya ia satu lagi bajet untuk kemudahan dan keselesaan warga yang berada. Mereka sebut projek mega di situ, projek mega di sini, hakikatnya berbillion ringgit akan dapat kepada kroni, rakyat hanya dapat ratusan ringgit.

Masa Najib bentang bajet kelmarin, saya tengah memandu di Lebuh Raya Utara Selatan menuju ke Perak, sambil mengikuti perbentangan bajet di dalam kereta. Menarik bila diumumkan, untuk pengguna-pengguna Lebuh Raya PLUS saya dengan sukacitanya mengumumkan… PM berhenti sekejap, saya menjangkakan kalau tak dimansuhkan tol mesti sekurang-kurangnya kerajaan mengurangkan kadar tol. Rupa-rupanya… dengan sukacitanya saya mengumumkan kadar tol di semua 4 lebuh raya kendalian PLUS tidak akan dinaikkan dalam tempoh 5 tahun. Ingatkan nak diumumkan tol dimansuhkan atau sekurang-kurangnya diturunkan. Mungkin ada pemandu di lebuh raya PLUS yang senak perut, tergelak dengar pengumuman ini. Rupanya nak bagi tahu tol tak naik. Tak naik tak payahlah diumumkan. Saya yakin PLUS tak terjejas apa-apa ekoran kadar tol tidak dinaikkan kerana mereka mempunyai perjanjian dengan kerajaan: Sebarang kekurangan pendapatan PLUS ekoran kadar tol yang tidak dinaikkan akan ditampung pihak kerajaan. Ditampung pihak kerajaan maknanya duit rakyat akan digunakan.

Apa pula keperluan ubah suai Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri dengan kos mencecah RM65 juta. Bukankah ia baru saja diubah suai. Apakah ubah suai ini atas kehendak Rosmah? Sekiranya begini duduk perkara maka amat malang bagi rakyat Malaysia mempunyai ‘First Lady’ yang berselera dan bernafsu tinggi sehingga sang suami perlu membelanjakan puluhan juta ringgit duit rakyat demi memenuhi selera isteri tercinta.

Termasuk tahun ini telah 14 tahun berturut-turut kerajaan BN membentangkan bajet defisit. Untuk Bajet 2011, jumlah defisit kira-kira RM1 billion. Menjadi persoalan kenapa perlu kerajaan berbelanja melebihi pendapatan. Berbelanja melebihi pendapatan bermakna negara perlu berhutang. Setakat tahun ini sahaja jumlah hutang Negara telah mencapai hampir RM400 billion. Kalau kita terus berhutang tanpa mampu menjelaskannya, memang jelas sebagaimana yang dinyatakan oleh Idris Jala, negara kita menuju bankrap menjelang 2019, setahun sebelum kita mencapai status negara maju 2020.

No comments: