Datuk Dr Anwar Ridhwan menolak tanggapan bahawa pemilihannya sebagai Sasterawan Negara adalah bagi menutup mulutnya yang lantang menentang dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Beliau adalah antara penentang utama dasar bahasa tersebut bersama-sama dengan seorang lagi Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Hassan Ahmad.
Malah, semua sasterawan yang masih hidup telah mengeluarkan kenyataan bersama menentang pelaksanaan PPSMI.
"Saya rasa kerajaan bersikap terbuka sejak akhir-akhir ini. Begitu juga dengan (Sasterawan Negara) Muhammad Haji Salleh yang lantang dalam ucapan-ucapannya.
"Dua orang inilah (Samad dan Muhamad) yang saya nampak lantang. Tetapi nampaknya kerajaan tidak memberi apa-apa tekanan ke atas mereka," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini hari ini.
Mengakui pengiktirafan yang diterimanya itu sebagai beban, dekan fakulti penulisan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu berkata, ia bukanlah halangan kepadanya untuk terus bersikap kritis.
"Memang beban itu mula terasa. Tetapi pada saya, saya akan memberikan pandangan, kalau pada pandangan saya tidak sesuai, tidak secocok dengan sikap saya, saya rasa ia bukan halangan (untuk bersuara)," katanya.
Selain menentang PPSMI, beliau juga mengakui pernah menyuarakan perasaan tidak senangnya terhadap akta ISA dan isu-isu pendidikan, termasuk di dalam blognya www.1anwarridhwan.blogspot.com
"Walaupun tidak selari (dengan pandangan orang lain), saya akan beri pandangan. Tetapi (soalnya) bagaimana kita menzahirkan pandangan itu? Kita ada 1,001 cara untuk menzahirkan pandangan.
"Saya rasa ini bukan sikap penulis, sasterawan atau sasterawan negara saja. Saya rasa setiap daripada kita mempunyai hak untuk menzahirkan pandangan, terhadap sesuatu itu yang bertentangan dengan pendirian, prinsip dan idealisme kita," tegasnya… http://www.malaysiakini.com/news/110784
Ulasan: Doakan semua warganegara Malaysia bersifat begini. Dulu BN/UMNO menanam sifat takut. Sekarang tidak lagi kerana kita tahu rakyat tak perlu takut kepada kerajaan kerana kitalah yang melantik mereka pada setiap pilihan raya umum. Kerajaan sewajarnya prihatin rakyat.
No comments:
Post a Comment