JAKARTA 24 Ogos - Parti Keadilan Sejahtera (PKS) membidas keputusan polis untuk meningkatkan pengawasan terhadap kegiatan dakwah dan ceramah agama.
Jurucakap PKS, Mutammimul Ula memberi amaran, tindakan polis tersebut boleh menjadi punca ketegangan baru antara umat Islam dengan kerajaan Indonesia.
"Kita tidak boleh menjadi sebuah negara polis kerana ini sama bahayanya seperti sebuah negara yang diperintah oleh tentera," tegas Mutammimul, lapor agensi berita Antara semalam.
Beliau yang menganggotai Suruhanjaya I Dewan Perwakilan berkata, pendirian partinya berhubung isu tersebut adalah jelas iaitu menentang keputusan berkenaan.
"Seperti yang saya katakan tadi, keputusan itu akan menimbulkan ketegangan baru antara umat Islam dengan kerajaan dan dalam kes ini masyarakat Islam akan menjadi pihak yang disyaki," katanya.
Menyentuh tentang ungkapan yang digunakan sebagai panduan dalam pelaksanaan dasar itu seperti 'dakwah yang bersifat provokasi dan menyalahi undang-undang', Mutammimul berkata, ungkapan sedemikian boleh digunakan untuk tujuan politik dan ditafsirkan secara longgar.
Beliau berpendapat polis tidak sepatutnya panik dalam berdepan dengan pengganas yang bilangan mereka sebenarnya sangat kecil.
"Polis tidak boleh menumpukan perhatian mereka terhadap kelompok majoriti dalam menangani bilangan pengganas yang sangat kecil. Langkah ini akan memerlukan banyak tenaga," katanya.
Mutammimul berkata, polis juga memikul tugas untuk menghapuskan jenayah lain selain keganasan seperti penyalahgunaan dadah yang mendatangkan banyak kerosakan kepada masyarakat.
Beliau menyeru pasukan polis supaya bersikap bijaksana dan rasional.
"Jangan biarkan negara demokrasi bertukar menjadi sebuah negara polis. Ini sama bahayanya seperti negara tentera," tegas beliau. – Agensi
Ulasan: Betul kata Mutammimul Ula. Jangan biarkan negara demokrasi bertukar menjadi sebuah negara polis. Ini sama bahayanya seperti negara tentera.
No comments:
Post a Comment