Jurucakap Polis Negara, Inspektor Jeneral Nanan Soekarna dalam mesej teks yang diterima oleh Jakarta Post kelmarin berkata, polis tidak akan melaksanakan rancangan tersebut.
"Tidak ada langkah untuk memantau atau membataskan ceramah agama kerana cadangan ini telah membimbangkan sesetengah pihak.
''Bagi memastikan ketenteraman dan keselesaan untuk mereka yang taat beragama, saya ingin menjelaskan perkara ini bagi mengelakkan konflik antara Polis Negara dengan umat Islam," katanya.
Nanan mengumumkan rancangan itu pada Jumaat lepas, dengan memberi amaran ulama akan ditangkap dan dikenakan tuduhan jenayah jika mereka menyampaikan ceramah yang mencetuskan provokasi dan kebencian.
"Kenyataan itu berkait rapat dengan penangkapan 18 lelaki Filipina di Jawa Tengah dan persoalan bagaimana polis boleh mengawal ulama yang memberi ceramah untuk mencetuskan provokasi atau menarik anggota baru sebagai pengganas," katanya.
Polis di Jawa Tengah sebelum itu menahan 18 lelaki berkenaan yang disyaki terlibat dalam keganasan. Mereka telah memberi ceramah di beberapa masjid.
Namun begitu, sejak rancangan tersebut diumumkan, polis dihujani bantahan ramai.
Parti-parti berhaluan Islam adalah antara yang paling lantang membidas rancangan polis itu.
Parti Keadilan Sejahtera (PKS) dan Parti Persatuan Pembangunan (PPP) sebulat suara menyifatkannya sebagai ancaman kepada kebebasan bersuara, manakala Parti Demokrat juga menentang pemantauan ceramah.
"Keputusan polis untuk melakukan pemantauan hanya satu pembaziran," kata Timbalan Ketua Umum Parti Demokrat, Anas Urbaningrum.
Pemerhati politik menyifatkan strategi tersebut sebagai keterlaluan.
"Polis bertindak secara keterlaluan kali ini dan keputusan mereka untuk mengumumkan strategi mereka adalah tidak wajar," kata penganalisis politik di Universiti Negara Islam, Bachtiar Effendy.
Beliau berpendapat, jika polis mahu memantau ceramah agama, mereka hanya perlu melakukannya tanpa menghebahkannya kepada semua orang kerana ini hanya akan menimbulkan tanggapan salah bahawa situasi tidak stabil dan tidak selamat.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Indonesia (MUI), Amidhan berkata, keganasan adalah aktiviti bawah tanah dan dengan itu tiada keperluan untuk memantau dakwah dan ceramah yang disampaikan secara terbuka.
"Semua ceramah di masjid tidak pernah membawa mesej keganasan atau kebencian," ujar beliau. - Agensi
Ulasan: Terima kasih kerana polis bersikap profesionalisme. Di Malaysia pula, bagaimana? Susah bila orang politik memperkudakan polis.
No comments:
Post a Comment