Wednesday, August 05, 2009

Ramai pelajar IPT Melayu beli arak

SHAH ALAM 4 Ogos - Penjualan minuman keras di premis-premis perniagaan yang terletak di kawasan penduduk majoriti Melayu di Selangor antara penyebab sebahagian besar pembeli arak di negeri itu terdiri daripada kaum Melayu yang beragama Islam.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali berkata, hasil kajian Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga menunjukkan pembeli minuman keras kebanyakannya pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

''Kajian itu juga mendapati sebahagian besar pembeli arak adalah anak-anak Melayu dan dari pukul 7 petang hingga 12 malam merupakan waktu membeli minuman keras," katanya pada sidang akhbar mengenai kontroversi isu arak di Selangor di sini hari ini.

Sehubungan itu, kata Hassan, Pas Selangor mendesak kerajaan negeri mengeluarkan garis panduan yang seragam bersesuaian dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bagi membanteras penjualan arak di kawasan penduduk majoriti beragama Islam.

Katanya, tindakan tersebut tidak melibatkan hak masyarakat bukan Islam di negeri itu, malah pihaknya tidak pernah menuntut supaya arak diharamkan dijual atau diminum dari kalangan masyarakat bukan Islam.

''Pas Selangor akan segera mengemukakan draf peraturan kecil mengenai penggunaan arak di kalangan masyarakat Islam untuk dikuat kuasa peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) tapi draf ini bukan undang-undang baru, sebaliknya hanya peraturan.

''Ketika ini hanya JAIS yang boleh mengambil tindakan berhubung penjualan minuman keras, tapi selepas ini, 12 buah PBT yang ada di Selangor juga boleh menjalankan penguatkuasaan serupa dengan jabatan agama itu," tegasnya.

Ulasan: Apa sudah jadi kepada dakwah di kampus? Dengan dakwah ramai yang boleh diselamatkan dari siksaan Allah. Wahai orang Melayu/Islam: Semarakkan dakwah di mana saja. Jangan hanya habiskan hidup untuk cari duit.


No comments: