Thursday, August 27, 2009

Muhyiddin bercakap benar - Dr. M

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui bahawa beliau telah meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membekalkan air kepada Singapura semasa Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor.

"Tan Sri Muhyiddin bercakap benar mengenai desakan saya kepadanya untuk membekal air kepada Singapura, tetapi Lee Kuan Yew tidak mengancam untuk berperang sekiranya kita tidak membekalkan air. 

"Sekiranya beliau (Lee) melakukan itu, saya fikir saya akan menghentikan sebarang bekalan air seterusnya," kata Dr Mahathir dalam laman blognya hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri pada 19 Ogos lalu bahawa beliau telah meminta Muhyiddin menghadiri mesyuarat dengan Perdana Menteri Singapura ketika itu, Lee Kuan Yew yang sedang membuat lawatan, berhubung isu saluran paip gas dan bekalan air, di Kuala Lumpur.

Menurut Muhyiddin, semasa perbincangan antara Dr. Mahathir; Menteri Kewangan ketika itu, Tun Daim Zainuddin; Kuan Yew; dan beliau, Kuan Yew mahukan bekalan air yang mencukupi disalurkan kepada republik itu dari Johor.

"Kuan Yew berkata, Singapura bersedia untuk berperang sekiranya Malaysia tidak mahu membekal air yang mencukupi dan melahirkan rasa kesal berhubung projek bekalan air dari Sungai Lingu yang tertangguh.

"Saya berkata, kami tidak mempunyai wang dan Kuan Yew berkata, Singapura sanggup menanggung kos dan apabila siap, harta tersebut akan dimiliki Malaysia, jadi Singapura hanya membayar bil," kata Muhyiddin.

Muhyiddin semasa berceramah di Tanjung Putus, Bukit Mertajam semasa kempen Pilih Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, menjelaskan perkara itu sebagai menolak dakwaan pembangkang bahawa beliau telah menjual sekeping tanah kepada Singapura berhubung loji rawatan air di Sungai Lingu, Bandar Tenggara Johor. 

Dr. Mahathir berkata, beliau tidak mengetahui mengenai penjualan tanah kepada Singapura, tetapi kerana telah dipersetujui bahawa loji rawatan air akan dibina oleh Singapura di Johor, maka tanah perlu disediakan.

"Kita ketika itu sedang cuba berbaik-baik dengan Singapura bagi menyelesaikan beberapa masalah. Walaupun air mentah akan dibekalkan pada 3 sen per 1,000 gelen, persefahamannya ialah di masa depan, hanya air yang dirawat yang akan dibekal apabila loji rawatan kita siap.

"Kita juga tidak akan beli lagi sebarang air yang dirawat dari Singapura dengan kadar 50 sen per 1,000 gelen apabila loji rawatan baru kita di Johor siap." kata Dr Mahathir dalam blognya. - BERNAMA

Ulasan: Bohong adalah sifat pemimpin UMNO? Seorang kata Lee Kuan Yew ancam berperang, lagi seorang kata dia tidak mengancam untuk berperang sekiranya kita tidak membekalkan air. Polis dan SPRM sila siasat untuk mencari siapa yang penakut sekaligus berbohong dan bawa mereka ini ke pengadilan.

No comments: